Manage PermissionsManage Permissions

RB kenalkan perkhidmatan penerbangan 'RB Link'




Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit





BERAKAS, Rabu, 10 Julai. - Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) memperkenalkan perkhidmatan penerbangan-penerbangan 'RB Link' yang akan menghubungkan Brunei dan bandar-bandar baharu di Pulau Borneo dengan kerjasama Malindo Air Malaysia.


Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah RB, di Hab Kolaborasi, Kampus RB sempena Majlis Pelancaran Perkhidmatan Brunei - Brisbane.


''RB akan melancarkan operasi pesawat serantau dengan menggunakan dua pesawat ATR baharu yang diharap akan menjadi penyumbang utama dalam peningkatan pelancongan, perdagangan dan pergerakan rakyat serta penduduk negara-negara BIMP-EAGA dan seterusnya memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi Brunei dengan bandar-bandar yang terdapat di Kepulauan Borneo,'' jelasnya.


Tambahnya, Pelaburan RB dalam mengembang luaskan rangkaian pengangkutan melalui udara di rantau BIMP-EAGA ini juga menunjukkan komitmen Brunei dalam menyumbang kepada pembangunan serantau yang membolehkan pergerakan penduduk bandar-bandar di Pulau Borneo yang sememangnya mencabar.


Penerbangan RB Link merupakan inovasi terbaru RB dalam meningkatkan produk dan perkhidmatannya dengan mengambil peluang kepada potensi pelanggan yang terdapat di Pulau Borneo yang dianggarkan berjumlah 21 juta orang.


Ia akan dikendalikan oleh Malindo Air dengan menghubungkan lima bandar baharu dan dua buah bandar yang sedia ada di Pulau Borneo serta menghubungkannya dengan 25 destinasi antarabangsa RB melalui hab Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.


Penerbangan RB Link ini akan memberikan pelanggan-pelanggan menikmati perjalanan yang lebih cepat, mudah dan lancar.


Selain itu RB Link juga merupakan sebahagian daripada projek RB dalam mengembang luaskan rangkaiannya bagi mencapai matlamat setengah juta pelawat ke Brunei menjelang tahun 2021 serta meningkatkan pendapatan negara melalui sektor pelancongan.

 

RB Link akan beroperasi menggunakan dua pesawat ATR 72-600 yang baharu yang dilengkapi dengan 72 tempat duduk kelas ekonomi serta perkhidmatan makanan, minuman, majalah penerbangan Muhibah dan perkhidmatan hiburan menggunakan peranti elektronik peribadi.


Close