Manage PermissionsManage Permissions

Kesalinghubungan ASEAN tingkat pelaburan



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pembangunan





 

SEOUL, REPUBLIK KOREA, Rabu, 10 Julai. - Kesalinghubungan di antara ASEAN akan menjurus kepada pertumbuhan ekonomi yang kompetitif, meningkatkan peluang-peluang pelaburan, ekonomi, pekerjaan serta mengurangkan jurang pembangunan.

 

Perkembangan bandar dan penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar meningkatkan keperluan bagi ASEAN untuk merancang dan membangun infrastruktur bagi kesalinghubungan, bekalan perumahan dan utiliti, logistik yang lancar dan sebagainya.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar  semasa menyampaikan ucapan utama pada 7th ASEAN Connectivity Forum yang berlangsung pada 9 hingga 10 Julai 2019 di Seoul, Republik Korea.

 

Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut menggariskan kepentingan kesalinghubungan ASEAN dan cabaran-cabaran pelaksanaan bagi hubungan serantau.

 

Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa ke arah proses pembangunan kesalinghubungan yang mampan, ASEAN menghadapi cabaran seperti kekurangan tenaga kerja mahir dengan mobiliti terhad di dalam ASEAN.

 

Batasan sumber dana, keupayaan manusia dan peningkatan perubahan iklim serta risiko keselamatan siber yang berkaitan dengan kemajuan teknologi maklumat dan ‘internet of things’  adalah cabaran ASEAN dalam menangani rangka kerja dan strategi dasar pelbagai dimensi.

 

‘ASEAN Connectivity Forum’ yang pertama kali diadakan pada tahun 2013, berfungsi sebagai platform untuk memperkukuhkan kerjasama inisiatif kesalinghubungan infrastruktur di antara ASEAN dan pihak swasta Korea.

 

Sejak tahun 2016, peningkatan perdagangan berterusan sebanyak 15.9 peratus menjadikan Korea sebagai destinasi pelaburan yang ketiga terbesar dan rakan perdagangan kedua terbesar bagi ASEAN. Sebagi penganjur forum bersama, Korean Chambers of Commerce and Industry (KCCI) dan Construction Association of Korea (CAK) menganjurkan mesyuarat perniagaan untuk mengenalpasti peluang-peluang kerjasama yang dapat diterokai bersama.

 

Korea telah memberikan sokongan bagi ‘rolling pipeline’ di bawah Masterplan on ASEAN Connectivity (MPAC) 2025 dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau.

 

Sidang Kemuncak ASEAN-ROK dan Sidang Kemuncak Mekong-ROK yang akan berlangsung pada bulan November tahun ini akan meraikan jalinan kerjasama kali ke-30 tahun dan seterusnya meningkatkan perkongsian serantau yang komprehensif.

 

Yang Berhormat Menteri Pembangunan yang dijemput oleh ASEAN-Korea Centre, turut diiringi oleh Pegawai-pegawai Kanan dari Kementerian Pembangunan menghadiri taklimat mengenai strategi pembangunan negara dan pengalaman mengenai tenaga, bandar pintar dan kesalinghubungan oleh para peserta forum.

 

Yang Berhormat juga mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada IPP Development Hyundai Heavy Industries Co. Ltd dan GS Engineering and Construction Company Ltd untuk Negara Brunei Darussalam dan bertukar-tukar buah fikiran dan maklumat mengenai kapasiti (amalan terbaik) dan pengalaman kejuruteraan di syarikat-syarikat swasta Korea.



Close