Manage PermissionsManage Permissions

Persediaan Doa Kesyukuran berjalan lancar




Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin \ Foto : Haji Ariffin Md. Noor / Morshidi

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Julai. - Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019 akan bermula dengan Majlis Kesyukuran pada 14 Julai ini.

 

Bagi memastikan acara berjalan dengan lancar, Jawatankuasa Kerja Acara Keagamaan membuat tinjauan persediaan bagi acara tersebut di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

 

Hadir, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019; dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

 

Juga hadir, Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

 

Selain tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, acara akan turut diadakan di masjid-masjid seluruh negara seperti Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara; dan Masjid Perpindahan Negara Lambak Kanan bagi Daerah Brunei dan Muara.

 

Manakala di Daerah Belait akan diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan; dan Masjid Pekan Seria.

 

Sementara di Daerah Tutong, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; dan Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar bagi Daerah Temburong.

 

Orang ramai adalah dijemput untuk menghadirkan diri ke masjid dan memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar raja yang kita kasihi dilanjutkan usia juga kekal karar memerintah negara dengan suasana penuh aman dan sentosa sentiasa.

 

Close