Manage PermissionsManage Permissions

10 saudara baharu terima Kurnia Tambang Haji



Oleh : Haniza Abdul Latif \ Foto : Hamzah Mohidin

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Julai. - Dalam usaha berterusan bagi memantapkan lagi keimanan dan penghayatan Islam saudara-saudara baharu, seterusnya memberikan peluang kepada mereka untuk menunaikan ibadat haji pada musim haji tahun ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Tambang Haji kepada Saudara-saudara Baharu (Mualaf) yang Terpilih.

 

Pada tahun ini, seramai 10 orang saudara baharu yang layak dan memenuhi syarat-syarat, disokong bagi menunaikan ibadah Fardu Haji pada Musim Haji Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi.

 

Sehubungan itu, majlis penyerahan pengurniaan tersebut berlangsung di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan Baharu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di sini.

 

Hadir menyempurnakan penyerahan tersebut, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

 

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan bayaran Pakej Haji kepada Penolong Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sendirian Berhad (DHSB), Pengiran Hajah Noraini binti Pengiran Haji Sablon.

 

Para penerima Kurnia Tambang Haji Kebawah DYMM diberikan menurut kadar kepada pegawai-pegawai kerajaan, iaitu sebanyak BND4,500 setiap seorang.

 

Selain itu, setiap seorang daripada mereka juga dikurniakan sebanyak BND7,700 bagi mencukupkan Bayaran Pakej Haji DHSB, iaitu Pakej Zamrud : Z1 yang berharga BND12,200 dan bantuan ini dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf.

 

Mereka juga menerima sumbangan kewangan sebanyak BND2,000 bagi perbelanjaan persendirian (wang saku) yang juga diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf.

 

Pemilihan saudara-saudara baharu yang akan menunaikan fardu haji itu adalah melalui sesi temu duga dan berdasarkan garis pandu mengenainya yang disediakan oleh MUIB.

 

Semoga dengan Kurnia Tambang Haji ini akan dapat mengukuhkan iman mereka, menghayati ajaran agama Islam dengan lebih sempurna dan mereka akan dapat melaksanakan ibadah haji dengan penuh kesabaran juga taqwa dan sentiasa di bawah perlindungan juga pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala dan akhirnya akan mendapat haji yang mabrur juga dosa-dosa diampunkan oleh-Nya.



Close