Manage PermissionsManage Permissions

Majlis Persantapan pegawai beruniform serikan sambutan Hari Keputeraan



Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Persantapan untuk Pegawai-pegawai Keselamatan dan Pegawai Beruniform serta Pertubuhan-pertubuhan Awam Beruniform sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-73 Tahun di Istana Nurul Iman.


Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Norhayati binti Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abdul Rahman.


Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja yang lain.


Sejurus sebelum Majlis Persantapan, bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.


Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra dan menerima junjung ziarah daripada para pegawai dan anggota pasukan beruniform, antaranya dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Unit Simpanan Gurkha, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Laut, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran dan Kebangsaan serta Jabatan Penjara.


Kebawah DYMM juga berkenan beramah mesra dan menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli pertubuhan sukarelawan antaranya terdiri dari Kadet ABDB, Kadet PPDB, Kadet Bomba dan Penyelamat, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam dan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).


Majlis Persantapan bagi para pegawai dan pertubuhan-pertubuhan beruniform tersebut bertujuan untuk menghargai peranan penting dan tanggungjawab mereka dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara, rakyat serta penduduk di negara ini.


Turut berangkat dan hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan Manteri-manteri Pedalaman, para perwakilan asing ke negara ini, Setiausaha-setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.





















Close