Manage PermissionsManage Permissions

Siap sedia junjung keberangkatan



Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor

 

 



TEMBURONG, Rabu, 17 Julai. - Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan baginda Ke-73, Tahun 2019 akan diadakan pada 22 Julai ini.

 

Latihan persiapan bagi majlis itu berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini, dengan menumpukan kepada atur cara keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi majlis tersebut dan Persembahan Khas bertemakan "Raja Bertaqwa, Negara Sejahtera".

 

Hadir bagi meninjau lebih dekat lagi persiapan berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019.

 

Pengerusi Bersama Persembahan Khas, Dayang Siti Hawa binti Haji Kamis ketika ditemu bual Pelita Brunei menjelaskan, persiapan bagi acara tersebut telah bermula sejak bulan lepas.

 

"Persiapan berjalan dengan lancar, di mana semua pihak memberikan kerjasama, lebih-lebih lagi dengan semangat yang diberikan oleh para peserta persembahan," katanya.

 

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk hadir serta melibatkan diri dalam majlis tersebut itu nanti tanpa mengira peringkat umur dan lapisan masyarakat.

 

"Di samping untuk memeriahkan lagi majlis, ia adalah bagi menzahirkan ikrar taat setia kita sebagai rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Brunei Darussalam kepada raja yang dikasihi," katanya kepada Pelita Brunei.

 


Close