Manage PermissionsManage Permissions

Konsep, tema, format Persembahan Padang berbeza



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Julai. - Konsep, tema dan format Persembahan Padang bagi Majlis-majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di keempat-empat daerah sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73, Tahun 2019 agak berlainan.


Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM tahun ini dalam temu bual ekslusif pada 16 Julai lalu menjelaskan, Majlis-majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk bermula di Daerah Belait pada 20 Julai; Daerah Temburong 22 Julai; Tutong 25 Julai; dan Daerah Brunei dan Muara pada 28 Julai.


Bagi Daerah Belait dengan tema 'Raja Berwawasan, Memperkaya Negara Progresif' menggambarkan bahawa Negara Brunei Darussalam sangat bertuah kerana mempunyai seorang raja yang berwawasan dalam memimpin negara untuk memastikan negara ini mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Baginda adalah seorang tokoh pemimpin dunia dengan berpaksikan falsafah 'Melayu Islam Beraja' dalam setiap aspek pentadbiran negara dan sosiobudaya bersendikan ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah.


Sejak pemerintahan baginda, banyak kemajuan dikecapi dalam bidang keagamaan, pendidikan, perekonomian dan pembangunan prasarana, sekali gus menjadikan Negara Brunei Darussalam dikenali dan dihormati di mata dunia. Dengan kewibawaan dan kepimpinan baginda, Negara Brunei Darussalam berjaya melahirkan generasi yang bersemangat, proaktif, berdedikasi dan dinamik ke arah mendukung juga merealisasikan Wawasan Negara. Kebijaksanaan baginda menjadikan negara maju secara progresif ke arah mencapai kecemerlangan berterusan, termasuk memastikan perpaduan, kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara secara amnya.


Corak Persembahan Khas di Daerah Belait mempunyai tiga segmen, termasuk tarian tradisi; lakonan dan gerak laku untuk mengekspresikan peralihan zaman yang selari dengan pencapaian pembangunan negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035; Seni tari / Olah gerak pergerakan cergas dan bertenaga yang dipersembahkan oleh kanak-kanak dan belia-belia selaku peneraju masa depan yang berwawasan dalam merealisasikan hasrat baginda untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.


Manakala di Daerah Temburong, Persembahan Padang, tambah Yang Berhormat, membawa tema 'Raja Bertaqwa, Negara Sejahtera' yang menggambarkan sifat taqwa Kebawah DYMM, dalam menerajui pentadbiran negara. Baginda termasyhur sebagai seorang sultan dan raja yang memiliki kewibawaan, kebijaksanaan juga ketokohan, di samping memiliki wawasan yang tinggi untuk kemakmuran negara. Seluruh Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam setentunya menzahirkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap baginda dan kerajaan dengan memberikan sokongan padu juga menjunjung kedaulatan raja yang dikasihi untuk mencapai sebuah Negara Zikir yang sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.


''Tema yang dipilih sebagai lambang bahawa kemakmuran dan kesejahteraan negara di bawah pemerintahan dan kepimpinan Kebawah DYMM, telah berjaya mencapai kegemilangannya sebagaimana yang dihasratkan oleh baginda selaku Payung Negara yang dicintai dan disanjung tinggi oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini. Negara ini dapat mengekalkan kestabilan ekonomi, rakyat yang bersatu padu, hidup aman sentosa dan sejahtera dan taat setia dengan kerajaan baginda serta perkembangan dan kemajuan syiar Islam yang menjadi amalan hidup bernegara,'' jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika ditemui di pejabat Yang Berhormat.


Menurutnya, konsep Persembahan Khas ini sebagai manifestasi usaha, perpaduan dan wawasan rakyat secara berterusan untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Persembahan Khas Daerah Temburong tahun ini berkonsepkan ikrar taat setia rakyat terhadap kepimpinan Kebawah DYMM sebagai peneraju utama pembangunan dan kemajuan negara. Konsep Persembahan Khas ini sebagai manifestasi usaha, perpaduan dan wawasan rakyat secara berterusan untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Mempunyai tiga segmen dan mengetengahkan lima aspek utama dalam pembangunan Daerah Temburong, iaitu Keagamaan; Pendidikan; Kesukanan; Perekonomian dan Keusahawanan; dan Kesenian juga Kebudayaan.


Bagi Daerah Tutong pula, tambah Yang Berhormat, dengan tema 'Raja Berdaulat Kesayangan Rakyat' menghuraikan bahawa baginda adalah seorang raja berdaulat dan pemimpin negara yang adil, bijaksana dan dikasihi oleh seluruh rakyat; kasih dan kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis baginda telah dan akan menjadikan negara ini terus kekal menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.


Persembahan mengisahkan kehidupan, cita-cita, semangat dan prinsip rakyat Brunei (generasi penerus masa depan: kanak-kanak dan belia) sebelum dan selepas Brunei Merdeka di bawah kepimpinan seorang raja yang berdaulat ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035.


Di Daerah Brunei dan Muara pula, Persembahan Padang bertemakan 'Daulat Raja, Julangan Rakyat' menzahirkan mengenai apresiasi sanjungan rakyat terhadap kedaulatan raja peneraju negara yang berwibawa. Luahan rasa syukur, nikmat dan bahagia dimanifestasikan melalui gerak persembahan yang mengarah kepada hasrat Brunei maju, yang dipertunjukkan oleh gabungan generasi berwawasan dalam menjayakan Wawasan Negara 2035, dengan berpaksikan kepada konsep Melayu Islam Beraja sebagai identiti keBruneian.


''Corak persembahan termasuk tarian menjunjung kasih daripada belia-belia negara ini dengan persembahan gerak cergas dari sekolah rendah yang memberikan gambaran generasi berwawasan yang disemai keperibadiannya untuk cintakan raja dan sentiasa berkorban demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara, iaitu menggambarkan keceriaan rakyat dalam menyambut Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-73 Tahun dan menggambarkan generasi belia yang sentiasa siap siaga dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035 berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja,'' jelas Yang Berhormat.


Para peserta di keempat-empat daerah melibatkan para pelajar dari sekolah-sekolah rendah, menengah, NGOS dan pihak swasta.


''Saya menzahirkan harapan dan menyeru agar setiap Ahli-ahli Jawatankuasa akan terus memainkan peranan dengan penuh dedikasi serta komitmen yang tinggi dalam sama-sama membuat persediaan awal demi memastikan kesempurnaan pelaksanaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-73, tahun ini berjalan lancar,'' ujar Yang Berhormat.


Yang Berhormat juga berharap agar semua yang terlibat sepanjang acara dan majlis yang sedang dan bakal dilaksanakan di keempat daerah supaya bersama-sama berganding bahu mengambil bahagian menyertai dan menyumbangkan khidmat bakti dalam apa jua acara dan aktiviti-aktiviti keraian.


''Saya menyeru semua rakyat dan penduduk di negara ini untuk datang beramai-ramai bagi menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Kebawah DYMM bersama Rakyat dan Penduduk di keempat-empat daerah pada tarikh-tarikh dan tempat-tempat yang telah dinyatakan,'' tegas Yang Berhormat.


Yang Berhormat mengambil kesempatan merafak sembah bagi mewakili Ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM Ke-73, Tahun 2019 menyembahkan sembah tahniah ke hadapan majlis baginda dan berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melimpahkan rahmat-Nya, mengurniakan nikmat sihat walafiat dan dilanjutkan usia baginda serta kerabat diraja dan kekal qarar memerintah di atas takhta singgahsana kerajaan di bawah pemerintahan dan kepimpinan serta kebijaksanaan baginda, Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.



Close