Manage PermissionsManage Permissions

Gerhana Bulan tanda kebesaran Allah



Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Julai. - Gerhana merupakan kejadian alam semula jadi yang memperlihatkan keagungan, kekuasaan serta kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala yang berlaku pada matahari dan bulan.


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menganjurkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.


Sehubungan itu, fenomena gerhana bulan separa telah sabit berlaku di Negara Brunei Darussalam pada Rabu 14 Zulkaedah 1440 Hijrah bersamaan 17 Julai 2019 Masihi bermula jam 4.01 pagi hingga 6.19 pagi.


Berikutan fenomena tersebut, seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan dengan tumpuan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang ditunaikan sebaik-baik sahaja selesai menunaikan Sembahyang Fardu Subuh berjemaah.


Di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Sembahyang Sunat Gerhana Bulan berjemaah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.


Manakala khutbah dibacakan oleh Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.


Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Awang Haji Abd Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU serta penduduk sekitarnya.



Close