Manage PermissionsManage Permissions

16 peserta program YDC Lights On terima sijil



Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Hernie Suliana Haji Othman

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Julai. - Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menyaksikan seramai enam orang pelatih berjaya meneruskan fasa 3 dan 4 Program YDC Lights On, manakala empat orang terpilih untuk penubuhan satu konsortium F&B di bawah penubuhan konsortium YDC pada Majlis Penutup Program YDC Lights On.

 

Majlis diadakan di Dewan Serbaguna, Bangunan PGGMB, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Antara yang hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said dan Penolong Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh.

 

Majlis Penutup Program YDC Lights On juga diselajurkan dengan Penyampaian Sijil kepada seramai 16 orang peserta program oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Program YDC Lights On bermula pada 8 Julai lalu dan berakhir pada 16 Julai dengan pembentangan kertas kerja yang dinilai oleh pihak PPB dan BIBD.

 

Pelatih yang berjaya meneruskan fasa 3 dan fasa 4 juga akan membuat persiapan untuk 'showcase' yang bakal diadakan pada 1 Ogos 2019 bersempena Hari Belia Kebangsaan.

 

Ketika ditemu bual oleh Pelita Brunei, salah seorang pelatih, iaitu Dayang Aniqah Futhia'ah binti Abdul Hadi yang merupakan Pengusaha Adinah Couture memperkenalkan produknya, iaitu Anna Muslimah, berupa 'Cardigan Telekung' yang disatukan.

 

''Jika tiba waktu solat, awda bolehlah menarik ke hadapan 'cape' yang terdapat di belakangnya dan memasukkan muka di lubang muka telekung dengan mudah sekali,'' jelasnya.

 

Alhamdulillah tambahnya, daripada program tersebut, beliau dapat meningkatkan pengetahuan tentang menjadi seorang usahawan yang berkeyakinan dan InsyaaAllah pada masa akan datang, beliau ingin membuat para wanita Brunei berasa selesa ketika menjalani aktiviti harian dan menunaikan ibadah menggunakan produknya.

 

Program YDC Lights On adalah program yang julung kalinya diadakan oleh PPB dengan kerjasama bersama BIBD yang berhasrat untuk mendapatkan sokongan daripada BIBD dalam melahirkan belia yang mandiri juga tidak hanya menunggu peluang pekerjaan dari sektor kerajaan dan swasta, seterusnya menjadikan BIBD sebagai salah satu rakan strategik PPB dengan memeterai Memorandum Persefahaman bersama ke arah menjadikan PPB sebagai satu pusat kecemerlangan dan memperkasakan golongan sasaran.

 


Close