Manage PermissionsManage Permissions

MRSB adakan ibadah korban



Oleh : Khartini Hamir \ Foto : Hamzah Haji Mohidin

 




SUNGAI AKAR, Isnin, 12 Ogos. - Seramai 150 orang fakir miskin dan anak-anak yatim dari kawasan sekitar Kampung Sungai Akar menerima agihan daging-daging korban melalui Majlis Ibadah Korban Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar, di sini pagi tadi.

 

Sebanyak sembilan ekor kerbau dijadikan binatang korban dan seramai 63 orang menyertai ibadah korban pada tahun ini yang diselenggarakan oleh Takmir MRSB.

 

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong selaku Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir MRSB, Kampung Sungai Akar; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 

Juga hadir, Pemangku Ketua Kampung Sungai Akar, Awang Haji Ibrahim bin Jamaluddin; Pengiran Dato Paduka Awang Haji Azman Shyam bin Pengiran Haji Mohammad selaku Setiausaha Takmir MRSB, dan Penolong Pengerusi Majlis Perundingan Kampung Sungai Akar, Awang Haji Hakim bin Haji Mohd. Yassin.

 

Pengagihan daging-daging korban tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Pemangku Ketua Kampung Sungai Akar.

 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Takbir Hari Raya beramai-ramai yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Masjid, Haji Sa'adullah bin Haji Salleh, juga selaku Pemangku Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Akar. Majlis seterusnya diserikan dengan persembahan Tausyeh.

 

Majlis tersebut merupakan antara aktiviti tahunan MRSB yang bertujuan bagi memperingati peristiwa bersejarah Nabi lsmail bersama bapanya Nabi lbrahim Alaihi Salam, di samping melakukan ibadah sedekah kepada golongan-golongan yang kurang berkemampuan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan penduduk sekitar.



Close