Manage PermissionsManage Permissions

Bersatu menangani isu pembiakan lalat



Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pertanian dan Agrimakanan






 

KILANAS, Isnin, 12 Ogos. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah mengadakan sesi perjumpaan bersama Penghulu dan Ketua-ketua Kampung Mukim Pengkalan Batu.

 

Perjumpaan yang diadakan pada 10 Ogos 2019 di Bangunan Pejabat Unit Pengembangan Pertanian Daerah Brunei Muara, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di Kampung Limpaki, Kilanas berikutan keluhan dari penduduk-penduduk mukim berkenaan mengenai isu lalat yang banyak di beberapa kawasan dalam mukim berkenaan.

 

Perjumpaan tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dayang Hajah Aidah binti Haji Mohd. Hanifah dan dihadiri oleh wakil-wakil daripada penduduk mukim dan kampung, Mukim Pengkalan Batu yang diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari; Ketua Kampung Masin, Haji Moksin bin Haji Kamis; Ketua Kampung Junjungan dan Ketua Kampung Bebuloh, Haji Mohd. Said bin Tundak; wakil dari pihak Sekolah Menengah Masin; ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK); dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP.

 

Tujuan perjumpaan tersebut adalah bagi membincangkan dan mencari jalan untuk sama-sama mengatasi isu lalat yang ketika ini menjejaskan kawasan Mukim dan Kampung berkenaan dan juga kawasan-kawasan sekitarnya.

 

Beberapa cadangan telah dikemukakan dan dipersetujui untuk diambil tindakan oleh pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan juga oleh pihak penduduk Mukim dan penduduk Kampung.

 

Tindakan yang akan diambil oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ialah melaksanakan dengan segera larangan terhadap penggunaan sisa-sisa najis ternakan ayam sebagai baja di ladang-ladang tanaman sayur-sayuran, buahan-buahan dan bunga-bungaan di Mukim Pengkalan Batu dan kawasan sekitarnya untuk sementara waktu.

 

Pengusaha-pengusaha ternakan ayam juga diarahkan untuk membuang najis-najis ayam ke tempat pembuangan sampah di Sungai Paku, Daerah Belait. Ini adalah atas nasihat Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

 

Larangan juga serta-merta diberikan kepada penjual-penjual dan pembekal-pembekal najis ayam untuk memberhentikan penjualan dan pembekalan najis ayam kepada peladang-peladang di Mukim Pengkalan Batu dan kawasan sekitarnya untuk sementara waktu.

 

Di samping itu, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan akan bekerjasama dengan penduduk mukim dan kampung untuk memusnahkan larva (ulat lalat) pada kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan pembiakan.

 

Penduduk mukim dan kampong akan membantu Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bagi mengenalpasti kawasan-kawasan pembiakan lalat yang ada di  sekitar mukim dan kampung masing-masing.

 

Kerja-kerja pemusnahan menggunakan semburan racun larvacide akan dilakukan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.


Penduduk mukim dan kampung juga akan berperanan membantu pihak-pihak berkuasa, termasuk Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, dengan memaklumkan jika terdapat sebarang pembuangan najis-najis ayam dilakukan secara sewenang-wenangya dan bukan pada tempat yang dikhususkan.

 

Buat masa ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sedang giat melaksanakan penyemburan racun larvacide di beberapa ladang ternakan dan ladang tanaman yang terdapatnya pembiakan lalat.

 

Kerja penyemburan tersebut akan diteruskan sehinggalah populasi lalat berjaya dikurangkan ke tahap rendah.

 

Usaha juga sedang giat dijalankan untuk memperkenalkan penggunaan effective micro-organism (EM) sebagai bahan campuran dalam minuman ternakan.

 

EM ini telah digunakan di beberapa buah negara luar yang dikenal pasti berkesan membantu sistem penghadaman makanan ternakan, yang juga dikenal pasti berkesan membantu mengurangkan bau pada najis ternakan.

 

Setakat ini, sebanyak 14 buah ladang di negara ini sedang diuji kaji menggunakan EM. Pendekatan ini dihasratkan dapat membantu mengurangkan bau pada najis ternakan dan seterusnya mengelakkan pembiakan lalat.

 

Lawatan bersepadu oleh Pasukan Bertindak pada tahun ini telah mendapati beberapa buah ladang ternakan dan pusat penyembelihan yang tidak memenuhi kriteria kebersihan, termasuk terdapatnya pembiakan lalat pada tahap yang tidak terkawal.

 

Setakat ini, surat amaran telah dikeluarkan kepada tiga buah ladang ternakan dan dua buah pusat penyembelihan.

 

Ladang dan pusat penyembelihan yang terbabit telah diberikan amaran supaya dengan segera membersihkan kawasan di sekeliling ladang; membersihkan reban-reban; memastikan tidak ada kawasan-kawasan yang bertakung air; sisa buangan ladang tidak dibiarkan merata tempat dan membuangnya di tempat-tempat pembuangan yang dikhaskan.

 

Kegagalan untuk mengambil langkah-langkah seperti yang diarahkan maka tindakan-tindakan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada di bawah bidang kuasa agensi-agensi berkaitan akan diambil.

 

Ini termasuklah mengenakan denda kompaun di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Penggal 30) bagi kesalahan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab.

 

Mengenakan denda kompaun atau denda-denda bagi kesalahan-kesalahan sepertimana yang dinyatakan di bawah Perenggan 7, 8, 14, 16, 17, 19, 20, 37 dan 38 Perintah Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar 2016 atau Environmental Protection and Management Order 2016.

 

Baru-baru ini sebuah ladang ternakan ayam dan sebuah pusat penyembelihan telah dikenakan kompaun di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Penggal 30) bagi kesalahan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab.


Close