Manage PermissionsManage Permissions

PKWE Tutong kendalikan ibadah korban




Berita dan Foto : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim





TUTONG, Isnin, 12 Ogos. - Majlis-majlis Ibadah Korban sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha giat dilaksanakan oleh pelbagai pihak di negara ini demi meraih ganjaran pahala dan fadilat yang terkandung di dalamnya.


Justeru itu, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Ibadah Korban di bangunan pusat berkenaan, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.


Pada tahun ini sebanyak dua ekor kerbau dikorbankan untuk Majlis Ibadah Korban PKWE yang disertai oleh 14 ahli PKWE dan keluarga mereka.


Di majlis tersebut, tetamu kehormat menyerahkan pengagihan daging korban kepada 14 penerima yang berhak menerima terdiri dari asnaf fakir miskin di daerah ini dan Ahli-ahli Jawatankuasa kerja serta jemputan yang hadir.


Majlis sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha yang dikendalikan oleh PKWE Tutong itu juga dihadiri oleh Ketua Pengurus PKWE Tutong, Awang Haji Metamit bin Mat Zain; Imam (B) Haji Hammafi bin Mohd. Yassin selaku Pengerusi Majlis dan ahli-ahli warga emas Daerah Tutong.


Dalam pada itu, sejak penubuhan PKWE di daerah ini, keahlian pusat berkenaan telah meningkat kepada 310 yang terdiri dari pelbagai puak dan masyarakat dari kesemua lapan mukim di Daerah Tutong.


Close