Manage PermissionsManage Permissions

Ambil iktibar dari melaksanakan ibadah korban




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman \ Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Ogos. - Bagi sama-sama menyambut kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, pelbagai pihak di negara ini mengadakan majlis-majlis ibadah korban serta pengagihan daging korban kepada mereka yang berhak menerimanya.


Antara yang menyempurnakan ibadah korban tahun ini ialah penduduk Kampung Pelambayan dan Kampung Datu Gandi dengan gabungan serta kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pelambayan dan MPK Datu Gandi, yang mengorbankan tiga ekor kerbau.


Majlis pengagihan daging-daging korban tersebut berlangsung di kediaman Pemangku Ketua Kampung Pelambayan, Awang Haji Hanipah bin Begawan Pehin Udana Khatib Haji Junit, di Mukim Kota Batu.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging korban kepada para penerima ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Md Yassin bin Haji Ahmad.


Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis yang juga selaku Penghulu Mukim Kota Batu.


Daging-daging berkenaan diagihkan kepada seramai 21 peserta ibadah korban, 10 penerima Zakat Asnaf, 15 anak yatim dan warga penduduk Kampung Pelambayan dan Kampung Datu Gandi.


Terdahulu, majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Takbir Hari Raya oleh Awang Mohamad Hasan Basri bin Haji Hanipah.


Majlis merupakan salah satu aktiviti tahunan yang diungkayahkan oleh MPK Pelambayan dan MPK Datu Gandi yang bertujuan untuk meraikan Sambutan Hari Raya Aidiladha bersama penduduk kampung di samping menghayati makna dan sejarah ibadah korban serta mengambil iktibar daripadanya.


Close