Manage PermissionsManage Permissions

Ibadah korban pupuk semangat gotong-royong



Berita dan Foto : Saerah Haji Abdul Ghani





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Ogos. - Ibadah Korban yang dilaksanakan oleh umat Islam sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha setentunya hanya semata-mata bagi meraih ganjaran pahala melalui pengagihan daging-daging korban terutama bagi mereka yang berhak menerima.


Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas tidak ketinggalan untuk sama-sama mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi yang berlangsung di masjid berkenaan.


Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Dato Seri Setia Awang Haji Metussin bin Haji Baki.


Pada majlis itu, tetamu kehormat mengagih-agihkan daging-daging korban kepada 45 asnaf fakir miskin serta Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas, Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Ibadah Korban dan kepada orang ramai yang turut hadir di majlis tersebut.


Majlis diungkayahkan dengan kerjasama dan kesepakatan Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Ibadah Korban tahun ini yang berusaha dengan gigih untuk menjayakan majlis ini.


Pada tahun ini dari hasil penyertaan jemaah masjid, sebanyak empat ekor kerbau dan empat ekor kambing dikorbankan hasil dari 31 peserta ibadah korban.


Tujuan utama majlis korban diadakan adalah bagi menggalakkan penduduk kampung dan jemaah Masjid Kampung Kilanas untuk mengerjakan ibadah sunat berkorban sebagaimana yang dianjurkan dalam ugama Islam bagi meraih pahala dan berkat yang terdapat di dalamnya, di samping memupuk semangat bergotong-royong dan kerjasama serta perpaduan dalam mengungkayah pelaksanaan melapah dan pengagihan daging-daging korban serta membantu dan memudahkan penduduk kampung untuk melaksanakan ibadah korban dengan lebih sempurna.


Selain itu ia juga bertujuan bagi menggalakkan masyarakat kampung untuk mengimarahkan masjid sekali gus merapatkan silaturahim antara penduduk Kampung Kilanas dan sekitarnya serta menyerlahkan fungsi masjid sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab bagi sama-sama menyemarakkan syiar Islam di negara ini.



Close