Manage PermissionsManage Permissions

Libatkan belia kendalikan ibadah korban




Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Ogos. - Aidiladha terus disemarakkan dengan ibadah korban iaitu sunat yang dituntut dalam agama Islam yang sinonim dengan peristiwa agung dalam sejarah berkaitan dengan Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail dalam melaksanakan penyembelihan, perintah Allah Subhanahu Wata'ala.


Bagi meraih ganjaran pahala melalui ibadah korban sunat ini, Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia juga tidak ketinggalan meraikannya dengan menyembelih empat ekor kerbau sebagai binatang korban mereka tahun ini.


Imam masjid tersebut, Awang Haji Hassan bin Haji Lusin ketika ditemui berkata, melalui aktiviti kali ini pihaknya mengetengahkan penglibatan generasi muda terutama belia dalam sama-sama membuat kerja secara bergotong-royong bersama warga emas.


Dari proses begini, katanya, para belia selaku pelapis generasi yang sudah berusia akan dapat belajar dan menimba pengalaman demi masa akan datang.


Selain itu katanya, inisiatif majlis ini dapat memupuk sikap tolong-menolong dan mendidik para belia untuk tidak camah mata dalam membuat aktiviti sebagai khidmat sosial mereka.


Sejurus selesai kerja-kerja melapah daging korban diikuti kerja-kerja pembungkusan untuk diagih-agihkan.


Hadir menyempurnakan pengagihan daging korban yang berlangsung di masjid tersebut ialah Pemangku Ketua Kampung Bolkiah 'A' dan 'B', Awang Shahminan bin Haji Matzin.


Sebahagian daging korban sunat tersebut diagihkan kepada seramai 34 orang fakir dan miskin dari Kampung Setia 'A' dan 'B'.


Terdahulu, majlis diimarahkan dengan laungan takbir beramai-ramai yang dikepalai sendiri oleh imam masjid berkenaan.


Ibadah korban boleh mendekatkan seorang hamba dengan Tuhannya, melalui bukti pengorbanan yang dilakukan selain sebagai simbolik kesediaan hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan diri demi menegakkan agama Allah yang tercinta di samping melatih umat Islam supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah.


Close