Manage PermissionsManage Permissions

Berbagi rezeki daging di Aidiladha



Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi \ Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Ogos. - Hikmah Aidiladha melalui Majlis Ibadah Korban Sunat bukan sahaja berbagi rezeki daging binatang sembelihan malahan dapat memupuk perpaduan dan ukhuwah sesama masyarakat Islam.


Dalam meraih ganjaran pahala ibadah sunat itu, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) menyambut Hari Raya Aidiladha bersama anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd. (DHSB) mengendalikan ibadah tersebut dengan menyembelih sebanyak 10 ekor kerbau pada tahun ini.


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan agihan daging-daging korban tersebut bertempat di perkarangan Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Bolkiah 'A' di sini ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.


Seramai 90 asnaf fakir dan miskin dari Kampung Bolkiah 'A' dan 'B' menerima agihan tersebut dan seterusnya dapat merasa nikmat berbagi rezeki dari ibadah sunah itu.


Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua juga menyampaikan barangan wakaf bagi kegunaan masjid berkenaan dan diserahkan kepada Ketua Imam masjid, Awang Shahminan bin Haji Sulaiman.


Sumbangan wakaf tersebut berupa peralatan elektrik iaitu Penyedut Hampagas, Miyako Cooler dan Jam waktu-waktu solat yang diharap dapat memberikan kemudahan bagi masjid dan para jemaahnya.


Setentunya rakyat di negara ini merasa sangat bersyukur kerana dapat menikmati perayaan Aidiladha dengan penuh harmoni dengan kebijaksanaan pimpinan raja yang sangat pemeduli dalam hal ehwal kebajikan rakyat jelata.


Hukum ibadah korban yang kita raikan ini adalah Sunat Muakadah iaitu sunat yang sangat dituntut dan inisiatif yang dilakukan ini sejajar dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini yang antara lain menekankan bahawa apa jua bentuk atau jenis perintah Allah, ia tidak sunyi dari mengandungi hikmah iaitu 'rahsia tertinggi' ketuhanan berupa ganjaran untuk diterima kemudian hari.


Ini jelas menyatakan ibadah korban peristiwa Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail merupakan satu perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan mereka yakin suatu perintah itu mengandungi hikmah dan kebaikan hingga ke hari ini.



Close