Manage PermissionsManage Permissions

Ibadah korban bantu golongan memerlukan




Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Ogos. - Dalam usaha untuk menyemarakkan Hari-hari Kebesaran Islam dan seterusnya mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui ibadah korban, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Ibadah Korban yang berlangsung di Ruang Legar, bangunan kementerian tersebut.


Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.


Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Hajj ayat 34 hingga 38 oleh qari daripada Jabatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Awang Haji Mohd Eddy Huzaimi bin Haji Mat Yassin.


Majlis turut diserikan dengan laungan takbir dipimpin oleh Pasukan Dikir Lelaki Jabatan Ukur.


Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian agihan daging-daging korban oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan kepada penerima-penerima lelaki yang terdiri daripada warga Kementerian Pembangunan dan 70 asnaf fakir miskin daripada kawasan Berakas dan sekitarnya.


Manakala pengagihan kepada penerima-penerima perempuan disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan,  Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abd. Razak.


Sebanyak empat ekor kerbau dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban tersebut yang telah dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan.


Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Ir. Dayang Hajah Siti Aidah binti Haji Mohammad; pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Majlis Ibadah Korban ini merupakan acara keagamaan tahunan Kementerian Pembangunan dalam sama-sama berkongsi rezeki serta membantu golongan-golongan yang lebih memerlukan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.


Close