Manage PermissionsManage Permissions

Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap



Oleh : Aimi Sani \ Foto : Mohamad Azmi Awang Damit

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Panglima United States Indo-Pacific Command, Laksamana Philip S. Davidson.

 

Menyertai bersama Laksamana Philip S. Davidson ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat Ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew J. Matthews dan Foreign Policy Advisor, Tuan James Caruso.

 

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof  dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

 

Laksamana Philip S. Davidson dan delegasi berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan pengenalan selama dua hari dari 9 hingga 10 September 2019.

 

Kerjasama pertahanan dan ketenteraan di antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat telah dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada 29 November 1994.

 

Kedua belah pihak mempunyai hubungan pertahanan yang mesra dan lama terjalin yang merangkumi pelbagai interaksi termasuk pertukaran lawatan, mesyuarat pertahanan dan ketenteraan, eksesais  ketenteraan, latihan dan kursus.

 

Kedua-dua negara juga saling bekerjasama di dalam peringkat pelbagai hala seperti Southeast Asia Cooperation and Training (SEACAT) dan juga ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus (ADMM-Plus).

 

Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat baru-baru ini telah menamatkan Mesyuarat Perancangan Akhir (Final Planning Conference) bagi eksesais dua hala Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) pada bulan Ogos 2019 di mana Eksesais CARAT pada tahun ini dirancang untuk diadakan sekitar bulan Oktober 2019.



Close