Manage PermissionsManage Permissions

Tawan kembali puncak liga




Oleh : Haniza Abdul Latif \ Foto : Masri Osman, Azmah Haji Ahad

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 September. - Brunei DPMM FC mengungguli kembali tangga pertama Liga Perdana Singapura setelah berjaya menewaskan Albirex Niigata FC dengan keputusan, 2 - 0 pada perlawanan, yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

 

Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

 

Juga berangkat, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik serta kerabat diraja yang lain.

 

Pada separuh masa pertama menyaksikan Albirex Niigata FC mendominasi perlawanan, namun walaupun asakan demi asakan dilakukan, tetap tidak berjaya menghasilkan sebarang gol.

 

Bersambung pada separuh masa kedua perlawanan, kedua-dua pasukan silih berganti mengatur serangan ke kubu masing-masing untuk menjaringkan gol.

 

Beberapa serangan bahaya daripada Brunei DPMM FC akhirnya membuahkan hasil apabila Razimee Ramlli berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-67.

 

Selang 10 minit kemudian, gawang Albirex Niigata FC sekali lagi digegarkan melalui sepakan percuma daripada Adi Said yang merubah kedudukan menjadi, 2 - 0 bagi Brunei DPMM FC.

 

Kedudukan 2 - 0 kekal hingga ke wisel penamat, sekali gus menambah tiga mata penuh bagi membolehkan Brunei DPMM FC mengumpul 44 mata dan menawan kembali puncak Liga Perdana Singapura.

 

Pertemuan seterusnya, Brunei DPMM FC akan menerima kunjungan Warriors FC di gelanggang sendiri pada 14 September nanti.


Close