Manage PermissionsManage Permissions

Hubungan pertahanan Brunei - US rapat




Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad \ Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid



 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 September. - Kementerian Pertahanan menerima Lawatan Rasmi daripada Panglima United States Indo-Pacific Command (US INDOPACOM), Laksamana Philip S. Davidson bermula pada 9 hingga 10 September 2019.

 

Sehubungan itu, Laksamana Philip S. Davidson mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

 

Ketibaan Laksamana Philip di Kementerian Pertahanan dialu-alukan dengan Kawalan Kehormatan, terdiri daripada anggota-anggota Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).

 

Laksamana Philip seterusnya mengadakan kunjungan hormat secara berasingan kepada Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan.

 

Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-dua pihak menekankan hubungan pertahanan yang rapat di antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat yang terus berkembang melalui perjumpaan dua hala yang luas.

 

Hubungan di antara kedua-dua negara juga terus diperkuat melalui interaksi pertahanan yang berterusan, iaitu dengan penglibatan ABDB secara aktif dalam latihan bersama, program-program latihan, dan kerjasama ketenteraan bersama Amerika Syarikat.

 

Kedua belah pihak juga bekerjasama dalam peringkat berbagai hala melalui Southeast Asia Cooperation and Training (SEACAT) dan melalui bidang kerja ASEAN Defence Ministers' Meeting-Plus (ADMM-Plus).

 

Kedua belah pihak juga mengambil maklum dengan pelaksanaan ASEAN - United States Maritime Exercise yang berlangsung baru-baru ini mulai 2 hingga 6 September 2019.

 

Lawatan Laksamana Philip juga termasuk Majlis Mengadap ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Ini merupakan lawatan pertama Laksamana Philip ke Negara Brunei Darussalam semenjak pelantikannya sebagai Panglima US INDOPACOM pada 30 Mei 2018.


Close