Manage PermissionsManage Permissions

Peserta Program Mahabbah Wa Rahmah berlepas ke Malaysia




Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin



 

 

BERAKAS, Selasa, 10 September. - Seramai 12 ahli rombongan berlepas ke Malaysia bagi mengikuti Program  Intelektual Mahabbah Wa Rahmah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) - Kuala Lumpur (KL) - Terengganu yang diadakan selama enam hari bermula hari ini.

 

Rombongan yang terdiri daripada tiga pegawai daripada Jabatan Pengajian Islam bersama lapan mahasiswa UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) itu diketuai oleh Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili.

 

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad selaku tetamu kehormat.

 

Program Mahabbah Wa Rahmah adalah usaha Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA dengan kerjasama mahasiswa untuk memperkasakan ilmu dan khidmat sosial kepada masyarakat khususnya dalam membantu golongan berkeperluan seperti anak-anak yatim.

 

Ia antara lain bertujuan bagi melatih mahasiswa untuk bekerja secara berpasukan juga melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bersesuaian dengan persekitaran.

 

Selain itu, program juga bertujuan bagi membantu golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim melalui sumbangan dalam bentuk material dan khidmat masyarakat, di samping melahirkan mahasiswa yang berfikiran kreatif dalam mengaplikasikan teori-teori ilmu yang dipelajari untuk disumbangkan kepada masyarakat luar.


Semasa program itu, para peserta rombongan akan menghadiri seminar dan sesi dialog juga mengadakan lawatan ilmiah, kerja kemasyarakatan dan sumbangan amal kebajikan.

 

Antara tempat yang akan dikunjungi peserta program adalah Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Yayasan Chow Kit, Kuala Lumpur dan Asrama Anak-anak yatim Fakir Miskin, Terengganu.

 

Program itu bertepatan dengan misi dan visi UNISSA ke arah melahirkan mahasiswa yang berwibawa dan setentunya akan memberikan manfaat kepada mahasiswa untuk menghadapi sasaran masyarakat yang pelbagai.



Close