Manage PermissionsManage Permissions

Brunei - Wilayah Zhejiang bincang kerjasama dua hala



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri





HANGZHOU, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Rabu, 11 September. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri pada 8 September lepas berkenan berangkat meneruskan lawatan ke Bandar Hangzhou, Wilayah Zhejiang diikuti hari berikutnya dengan lawatan ke Hengyi Group.


YTM diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.


Keberangkatan tiba, YTM dan Yang Amat Mulia dijunjung oleh Pengerusi Hengyi Group, Tuan Qiu Jianlin.


Di sini, YTM berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai sejarah dan perkembangan Syarikat Hengyi sejak penubuhannya dan juga sembah taklimat daripada penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam yang sedang belajar di University Zhejiang di bawah biasiswa Hengyi mengenai pengalaman kehidupan mereka di Hangzhou.


Di sebelah petang, YTM berkenan berangkat melawat Tasik 'West Lake' dan menyaksikan persembahan 'Hangzhou : A Living Poem', diikuti dengan perjumpaan dengan Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Provinsi Zhejiang (Vice Chairman of the Standing Committee of Zhejiang Provincial People's Congress), Tuan Yang Terutama Li Weining.


Semasa perjumpaan tersebut, kedua belah pihak telah bertukar-tukar pandangan mengenai peluang untuk mengeratkan lagi kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Zhejiang, khususnya dalam bidang ekonomi, pertanian, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan dan kemudiannya berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Li Weining.


Sebelum berangkat meninggalkan Hangzhou, YTM berangkat melawat China National Tea Museum, Southern Song Dynasty Guan Kiln Museum dan Haangzhou Wensli Group and Silk Culture Museum.



Close