Manage PermissionsManage Permissions

Menteri Pembangunan terima Anugerah Distinguished Honorary Fellow



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pembangunan




 

JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, Rabu, 11 September. - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar telah dijemput khas oleh Presiden Persatuan Insinyur Indonesia (PII) bagi menghadiri Majlis Perasmian dan Persidangan Conference of the ASEAN Federation of Engineering Organizations (CAFEO) ke-37 yang berlangsung di Jakarta, Republik Indonesia.

 

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Presiden Republik Indonesia. Tuan Yang Terutama Ir. Joko Widodo, juga dihadiri oleh menteri-menteri dari rantau ASEAN.

 

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi juga menerima Anugerah Distinguished Honorary Fellow oleh Pengerusi ASEAN Federation of Engineering Organisations semasa Majlis Perasmian tersebut yang disaksikan oleh Presiden Republik Indonesia.

 

Award of Distinguished Honorary Fellow dianugerahkan kepada individual ‘outstanding engineer’ dengan sumbangan cemerlang kepada pembangunan peringkat nasional dan institusi kejuruteraan dan / atau negara-negara ASEAN, menggalakkan kemajuan profesion kejuruteraan dan pengalaman serta pengetahuan yang tinggi dalam bidang kejuruteraan.

 

Yang Berhormat Menteri Pembangunan adalah satu-satunya penerima dari Negara Brunei Darussalam bagi anugerah tersebut.

 

ASEAN Federation of Engineering Organisations (AFEO), terdiri daripada 10 institusi kejuruteraan bukan kerajaan dan organisasi dari negara-negara ASEAN.

 

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA Brunei) yang menjadi ahli kepada The ASEAN Federation of Engineering Organisations (AFEO) sejak tahun 1984.

 

Objektif utama AFEO adalah untuk menggalakkan muhibah dan persefahaman antara institusi-institusi kejuruteraan di rantau ASEAN serta untuk menghasilkan ASEAN Baseline Standard bagi bidang kejuruteraan dengan bermatlamat untuk memudahkan penglibatan dan ‘mobility’ jurutera-jurutera di kalangan negara-negara ASEAN.

 

Persidangan yang dianjurkan oleh Institusi Ahli kepada AFEO yang diadakan secara tahunan mengikut putaran abjad negara ASEAN tersebut mempunyai peranan yang penting untuk membantu meningkatkan profil sektor kejuruteraan, mempamerkan kepentingannya kepada pembangunan yang dinamik kepada seluruh rantau ASEAN.

 

Ia juga bertujuan untuk membuktikan kepada para belia bahawa kejuruteraan adalah menarik, mencabar dan bagaimana jurutera boleh mengubah dunia serta persekitaran hidup, membawa kehidupan yang lebih baik kepada rakyat negara-negara ASEAN.

 

Selepas Majlis Perasmian tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan berserta Menteri-Menteri ASEAN yang diketuai oleh Presiden Persatuan Insinyur Indonesia (PII) menyertai lawatan ke Pameran Kejuruteraan Indonesia yang menampilkan kehebatan kejuruteraan terkini Indonesia daripada infrastruktur kepada penyelesaian digital dan pameran mengenai tenaga, elektrik dan pembaharuan tenaga.

 

Turut hadir pada Majlis Perasmian The 37th Conference of the ASEAN Federation of Engineering Organizations (CAFEO) adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman yang juga merupakan Presiden PUJA Brunei.

 

Turut menyertai Yang Berhormat Menteri Pembangunan ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Dayang Lim Sui Kau Alice dan beberapa Pegawai-pegawai Kanan dari Kementerian Pembangunan dan Jabatan Kerja Raya.


Close