Manage PermissionsManage Permissions

PMB fokuskan perpaduan masyarakat, keusahawanan




Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman





DAERAH BELAIT, Rabu, 11 September. - Penduduk Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong Tiga Selatan dan Kampung Pekan Seria di Daerah Belait berpeluang menyertai Program Masyarakat Bermaklumat (PMB), anjuran Jabatan Penerangan, melalui Cawangan Penerangan Belait dengan kerjasama Jawatankuasa PMB bagi Kampung Lorong Tiga Selatan dan Kampung Pekan Seria.


Seramai 63 peserta menyertai program selama dua hari tersebut yang telah dirasmikan di Dewan Jabatan Daerah Belait, Pekan Seria, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, selaku Penghulu Mukim Liang dan Pemangku Penghulu Mukim Kuala Belait.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Dayang Ruhil Amal Faridah binti Awang Yahya, selaku Pengerusi PMB bagi Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan dan Kampung Pekan Seria.


Dalam ucapannya antara lain menyatakan, program kali ini akan memfokuskan akan kepada dua tema yang penting iaitu Keutuhan Masyarakat dan Keusahawanan, dalam sama-sama membangun negara terutamanya bagi mencapai Wawasan 2035 yang termasuk kemajuan ekonomi yang mampu berdaya saing.


''Ke arah mencapai peningkatan ekonomi ini, penglibatan masyarakat dalam bidang keusahawanan adalah sangat penting dan perlu diambil perhatian. Bidang Keusahawanan perlu dilihat sebagai salah satu platform dalam mengurangkan isu pengangguran di negara ini dan seharusnya diterokai dan diceburi, terutamanya oleh golongan belia yang sedang mencari pekerjaan,'' ujarnya.


Hari pertama program diisikan dengan sesi-sesi taklimat yang disampaikan oleh wakil dari Jabatan Penerangan; Al Huffaz Management; Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Pasukan Polis Diraja Brunei dan Biro Kawalan Narkotik.


Manakala pada hari kedua para peserta akan berkesempatan untuk mengadakan lawatan ke beberapa tempat yang memfokuskan kepada keusahawanan di Kampung Jerudong dan perusahaan pertanian dan agrimakanan di Stesen Kemajuan Pertanian Birau, Tutong.


Lawatan-lawatan pendedahan tersebut diharap dapat membuka minda dan memberikan idea serta inspirasi kepada peserta program untuk mengusahakan perusahaan-perusahaan di kampung masing-masing.


Close