Manage PermissionsManage Permissions

Laksanakan penguatkuasaan dengan berkesan



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Oktober.  - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalambertitah menegaskan pentingnya keberkesanan dan penguatkuasaan akta dan peraturan bagi pengawalan keluar-masuk warga asing ke negara ini dan kehadiran pekerja asing tanpa majikan yang dilihat semakin berleluasa.

 


Tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kawalan dan aturan itu dibuat supaya kepentingan negara tetap terpelihara, keselamatan terjamin, sosioekonomi berkembang dengan baik sehingga memenuhi hasrat kerajaan untuk melihat negara ini menjadi pusat perdagangan dan pelancongan (Service Hub for Trade and Tourism).

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, apabila bercakap mengenai penguatkuasaan akta, maka yang sering dipersoalkan ialah keberkesanannya.

 


Sebagai contoh titah Kebawah DYMM, penguatkuasaan kawalan bagi pekerja-pekerja asing di mana pada masa ini adalah berlaku kehadiran pekerja-pekerja asing tanpa majikan, dalam makna tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat berdaftar di negara ini.

 


"Perkara ini dilihat semakin berleluasa, menunjukkan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) adalah lemah tidak berkesan, seolah-olah dengan mudah sahaja warga asing itu membuat atau memulakan perniagaan tanpa perlu kepada 'local partner'. Malah mereka juga yang sudah berani membawa ahli keluarga atau saudara-mara datang ke negara ini bagi tujuan mengembangkan lagi perniagaan mereka," titah baginda pada Keberangkatan Lawatan Kerja Tidak Berjadual Ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Buruh di Jalan Menteri Besar pagi tadi.

 


Baginda juga dengan tegas membangkitkan persoalan tentang di mana kita dalam mengawal negara dan di mana juga tanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan akta atau peraturan?

Apakah susah benar untuk melaksanakannya, nisbah dengan Brunei yang kecil ini, tegas baginda rasa-rasanya bukan kerana susah tetapi ialah kerana lemah, lemah pengurusan dan pentadbiran.

 


Tambah baginda lagi, memang sedang rencak diperkatakan tentang kelemahan ini, di mana ia berlaku dalam bahagian-bahagian seperti Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Pas Pekerja Asing, Bahagian Pas Lawatan, Bahagian Kad Pengenalan, Bahagian Pos Kawalan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Bahagian Pos-Pos Kawalan Sempadan Darat dan lain-lain.

 


Misalnya Bahagian Pas Lawatan, bahagian ini menurut baginda masih dilihat tidak dapat mengawal penjamin-penjamin daripada kalangan agen pekerjaan atau perseorangan, dan mereka ini turut mengenakan bayaran kepada warga asing yang dijamin secara tidak atau kurang terkawal.

 


Bahagian Pos Kawalan Imigresen LTAB pula titah baginda, didapati lemah dari segi kawalan terutama yang melibatkan warga asing yang berada di Ruang Berlepas.

 


Menurut baginda, pernah berlaku seorang penumpang warga asing yang masuk ke negara ini untuk transit, tetapi didapati lepas keluar daripada ruang Berlepas tanpa dikenakan sebarang sekatan atau memang kejadian itu tidak diketahui oleh mana-mana agensi bertugas di LTAB termasuk Jabatan Imigresen sendiri, dan perkara tersebut hanya disedari apabila penumpang berkenaan pergi ke kaunter Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) untuk 'check-in'.

 


"Penyiasatan kemudian mendapati bahawa penumpang itu lolos keluar kerana petugas tidak bertindak menghalangnya. Mengapa tidak menghalangnya? Tidakkah ini juga merujuk kepada kelemahan dan kecuaian petugas?" tegas baginda.

 


Bahagian Pos-Pos Kawalan Sempadan Darat pula tegas baginda lagi, tidak terkecuali memerlukan pemantauan berkesan kerana di sini juga mungkin berlaku perkara-perkara yang tidak patut berlaku seperti petugas di dalam waktu bertugas terlalai dalam pondok bertugas, dan juga turut berlaku ialah kejadian membuka hanya sebuah kaunter yang menyebabkan kenderaan berderet-deret menunggu giliran, walhal ada petugas lain tetapi tidak mahu membuka kaunter.

 


Close