Manage PermissionsManage Permissions

Jangan biarkan pengurusan dan pentadbiran lemah



​Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Oktober. – Pihak Penguatkuasa Jabatan Buruh dilihat kurang ketat mengawal dan malah mudah dipengaruhi oleh agen-agen pengambilan pekerja asing untuk menambah kuota pekerja asing dan mempercepatkan penyambungan kontrak-kontrak mereka.

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan dan membangkitkan beberapa isu mengenai perkara tersebut menerusi Keberangkatan Lawatan Kerja Tidak Berjadual Ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Jabatan Buruh di Jalan Menteri Besar pagi tadi.

 


Baginda bertitah menyentuh mengenai kawalan pemantauan dan pengambilan pekerja asing, yang mana pada masa ini sedang menjadi kebimbangan ramai mengenai kehadiran yang kian meningkat pekerja asing ke negara ini berbanding langkah menjaga kemaslahatan tenaga kerja tempatan di sektor swasta.

 


"Demikian juga kedengaran mengenai penggunaan kuota bebas bagi membolehkan pekerja asing bekerja di negara ini dengan membayar sejumlah wang kepada pemilik kuota. Pemilik kuota bebas itu boleh sahaja terdiri daripada pelbagai peringkat termasuk yang disegani (VIP). Beta ingin tahu adakah sudah dikaji dan ditangani isu ini atau ia dibiarkan begitu sahaja sehingga berleluasa? Pihak Jabatan Buruh diminta menjelaskannya nanti," tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 


Selain itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga turut mengetengahkan tentang isu lain yang turut kedengaran iaitu tentang peniaga tempatan yang menyewa lesen perniagaan mereka kepada warga asing untuk berniaga di negara ini.

 


Tambah Kebawah DYMM, warga asing itu akan dikenakan sejumlah bayaran pada tiap bulan oleh pemilik lesen warga tempatan, dan dengan lesen yang disewakan itu peniaga asing tadi akan mengambil pula kesempatan untuk mendatangkan pekerja asing lain untuk bekerja dengan mereka.

 


Natijahnya tegas baginda, pekerja-pekerja asing pun terus bertambah membanjiri Brunei tanpa dibendung, dengan peniaga tempatan pula hanyalah akan menerima habuk perolehan berupa sewa lesen daripada peniaga asing.

 


Baginda mempersoalkan di mana kita dengan slogan 'Memperkasa Penguasa dan Peniaga Anak-anak Tempatan', kalau beginilah keadaannya tegas baginda, tidak ada gunanya slogan tersebut, dan sekarang sudah jadi kenyataan di mana-mana saja pasar, termasuk pasar ikan dan lebih-lebih lagi pasar sayur-sayuran dan buah-buahan semuanya itu seperti dimonopoli oleh warga asing.

 


"Jadi apa hal dengan pengusaha-pengusaha dan peniaga-peniaga warga tempatan? Maka perkara ini juga, Beta ingin supaya dijelas," tegas baginda lagi.

 


Turut menjadi perhatian baginda ialah kegiatan sindiket dari kalangan warga asing yang bergerak mendatangkan pekerja-pekerja asing dengan menggunakan lesen syarikat-syarikat palsu.

 


Menurut baginda, syarikat-syarikat ini berdaftar di Jabatan Buruh dan mendapat kelulusan daripada pihak Mahkamah, namun syarikat-syarikat itu sebenarnya dikatakan tidak wujud.

 


Ia cuma wujud pada nama sahaja, sedang projek atau perusahaan tidak pernah ada, dalam makna syarikat-syarikat ini hanya digunakan untuk semata-mata menjamin warga asing supaya dapat tinggal di negara ini bagi suatu tempoh kontrak dengan kadar pembayaran tertentu seperti bayaran bagi warganegara ASEAN sebanyak BND2,500 dan warganegara lain sebanyak BND3,000.

 


"Sudahlah itu, mereka ini juga bebas mencari kerja di tempat lain tanpa terikat dengan syarikat yang menjamin mereka. Mengenai isu ini beta ingin mengetahui adakah ia disedari oleh Jabatan Buruh? Jika ya, apakah langkah diambil mengenainya," soal baginda.

 


Mengapa pengurusan dan pentadbiran boleh lemah? Banyak sebab yang menjadi punca kelemahan, di antaranya mekanisme tenaga manusia yang tidak cukup atau menyangkut juga faktor malas dan kurang penumpuan atau lagi yang paling buruk ialah amalan rasuah, tegas baginda.

 


Sehubungan itu, baginda turut menggesa agar perkara tersebut diawasi dan menegaskan agar gejala rasuah tidak dibiarkan meracuni pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

 


"Jika semua ini berlaku dalam pengurusan dan pentadbiran, maka sudah cukup untuk melemahkan pengurusan dan pentadbiran tersebut. Oleh itu mesti diawasi semua ini, lebih-lebih lagi gejala rasuah jangan dibiarkan ia meracuni pengurusan dan pentadbiran kerajaan," tegas baginda mengakhiri titahnya.


Close