Manage PermissionsManage Permissions

Tinjau perkembangan JIPK, Jabatan Buruh



‚ÄčOleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan berangkat mengadakan Lawatan Kerja Tidak Berjadual ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Buruh di Jalan Menteri Besar.

 


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

 


Juga hadir sama, Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd. Rahman.

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat melawat ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) yang merupakan sebuah jabatan yang berorientasikan perkhidmatan kepada orang ramai, dengan visinya iaitu ke arah perkhidmatan yang dinamik dan kredibel.

 


Antara peranan utama jabatan berkenaan ialah mengawal (Control) dan Mengatur (Regulate) orang-orang asing masuk/keluar ke/dari negara ini supaya tidak menjejaskan kepentingan negara, keselamatan, ekonomi, sosial, ugama, budaya serta mendukung hasrat kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai pusat perkhidmatan bagi perdagangan dan pelancongan (Service Hub for Trade and Tourism).

 


Selain itu, ia juga berperanan untuk menentukan Taraf Kependudukan serta melaksanakan pendaftaran-pendaftaran yang berkaitan dengan kelahiran dan kematian, Kerakyatan, Kad Pengenalan dan Anak-Anak Angkat.

 


Dalam lawatan tersebut, Kebawah DYMM berkenan melawat ke beberapa Bahagian dan Unit di jabatan tersebut antaranya ke Bahagian Kad Pengenalan; Dokumen Perjalanan yang bertanggungjawab mengeluarkan dokumen perjalanan kepada warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam (NBD); Bahagian Visa Lawatan dan Diplomatik yang bertanggungjawab untuk menerima dan memproses visa-visa tertentu; dan Perkhidmatan Syarikat.

 


Juga menjadi tumpuan lawatan baginda ialah ke Bahagian Pekerja Asing yang bertanggungjawab untuk menerima dan memproses visa dan pas hal ehwal berkaitan dengan pekerja asing yang hendak bekerja di NBD; Bahagian Persendirian dan Kerajaan, Bahagian Permit Masuk yang berperanan untuk memproses permohonan bagi mendapatkan taraf penduduk tetap NBD serta mengeluarkan Re-Entry Permit / Re- Entry Visa; Bahagian Penyelidikan, Perkembangan dan Komputer yang bertanggungjawab dalam menangani perkara yang berkaitan dengan pengurusan Jabatan, mengenal pasti keperluan latihan tenaga manusia, dan mengurus peralatan teknologi dan sistem di dalam Jabatan; Permohonan Brunei-Malaysia Frequent Travellers Programme (BMFTP); Bahagian Pendaftaran Taraf Kebangsaan (Warganegara) yang bertanggungjawab dalam memproses permohonan untuk mendapatkan taraf sebagai rakyat Kebawah DYMM.

 


Baginda seterusnya meninjau Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat yang bertanggungjawab dalam memproses pendaftaran bagi kelahiran dan kematian di Negara Brunei Darussalam termasuk memproses pendaftaran bagi anak angkat dan juga mengeluarkan cabutan atau lazim dikenali sebagai salinan bagi sijil kelahiran, kematian dan anak angkat; Bahagian Pentadbiran dan Kewangan yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sumber tenaga manusia dan kewangan yang berkaitan dengan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan; Unit Pendakwaan, dan Bahagian Penguatkuasaan yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan-peraturan bagi membanteras pesalah imigresen demi keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan negara.

 


Pegawai dan kakitangan JIPK bagi tahun 2019/2020 secara keseluruhan berjumlah 612 orang, yang mana Pegawai-pegawai Imigresen (Beruniform) adalah seramai 386 orang dan pegawai-pegawai Pendaftaran Kebangsaan dan Kakitangan berjumlah seramai 226 orang.

 


Dari JIPK, baginda meneruskan lawatan ke Jabatan Buruh.

 


Keberangkatan tiba baginda di Jabatan Buruh dijunjung oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Awang Haji Ibrahim.

 


Di sana, baginda berkenan melawat Bahagian Kaunter-Kaunter di aras Ground Floor dan seterusnya melawat ke tingkat satu iaitu Bahagian Piawaian Perburuhan dan Agensi Pekerjaan yang telah diamanahkan dengan tugas dan tanggungjawab seperti mendaftarkan dan melesenkan Agensi Pekerjaan yang beroperasi di negara ini; memantau dan mengawal aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Agensi Pekerjaan; dan menerima dan menyiasat aduan berkaitan dengan Agensi Pekerjaan selaras dengan Perintah Agensi Pekerjaan 2004); dan kemudian meninjau Bahagian Keselamatan di Tempat Kerja dan Unit Kewangan.

 


Baginda seterusnya berkenan melawat ke Tingkat 2, Bahagian Tenaga Pekerja Asing iaitu Unit Perlesenan Syarikat dan Unit Perkhidmatan Rumahtangga Persendirian (Amah), dan juga ke Unit Pemeriksaan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang.

 


Jabatan Buruh antaranya berfungsi dan berperanan mengeluarkan lesen bagi pengambilan bekerja tenaga kerja asing; menerima dan menyiasat aduan-aduan yang berkaitan dengan pekerjaan dan kebajikan pekerja; menjadi perantaraan dalam menyelesaikan pertikaian kerja antara pekerja dan majikannya; menguatkuasakan undang-undang dan peraturan-peraturan kawalan Jabatan Buruh; mendakwa pesalah-pesalah perburuhan di mahkamah; dan menerima dan memproses tuntutan pampasan pekerja bagi kematian dan kecederaan akibat kemalangan semasa bekerja.

 


Selain itu, jabatan tersebut juga berfungsi dan berperanan dalam menjalankan pemeriksaan ke premis-premis perniagaan, tempat pekerjaan dan tempat kediaman pekerja bagi tujuan penguatkuasaan dan pemantauan; mengendalikan Banci Pekerja / Majikan pada setiap tahun; mengeluarkan lesen bagi kegiatan agensi pekerjaan dan menangani hal-hal yang berbangkit dengannya; dan memenuhi komitmen dalam penglibatan Jabatan Buruh di peringkat serantau dan antarabangsa seperti keahlian dalam ASEAN, ILO, dan lain-lainnya.

 


Jabatan Buruh juga mengutamakan dua Dasar Buruh iaitu Dasar Fleksibel dalam pengambilan pekerja asing disebabkan jumlah penduduk negara yang kecil dengan tenaga kerja yang terhad; dan Dasar Pembruneian yang Mengutamakan anak-anak tempatan untuk  melibatkan diri dalam pekerjaan di sektor swasta, manakala pengambilan pekerja asing adalah berbentuk sementara.

Setakat ini jumlah keramaian pegawai dan kakitangan di Jabatan Buruh ialah seramai 189 orang.

 


Jabatan berkenaan mempunyai sepuluh bahagian di dalamnya terdiri dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang; Bahagian Pendakwaan dan Perundangan; Bahagian Piawaian Perburuhan dan Agensi Pekerjaan; Bahagian Tenaga Pekerja Asing; Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja; Bahagian Pentadbiran dan Kewangan; Bahagian Sistem Maklumat dan Teknologi; Bahagian Kajian dan Perangkaan; Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa; dan Bahagian Perancangan dan Perkembangan.

 


Jabatan Buruh juga memiliki tiga cawangan iaitu Pejabat Buruh Daerah Belait; Pejabat Buruh Daerah Tutong dan Pejabat Buruh Daerah Temburong.

 


Sejurus selesai, baginda kemudiannya berkenan berangkat beredar ke Dewan Serbaguna di Tingkat 3, Bangunan JIPK bagi mengurniakan titah dan seterusnya mengadakan sesi muzakarah bersama para pegawai dan kakitangan dari JIPK dan Jabatan Buruh.


















Close