Manage PermissionsManage Permissions

Ceramah Motivasi Yasmin Mogahed mendapat sambutan



​Berita dan Foto : Ihsan Borneo Bulletin / Terjemahan : Hajah Musmariani Haji Mohammad






TUNGKU LINK, Isnin, 7 Oktober. - Lebih 1,000 orang hadir mendengarkan Ceramah Motivasi Islam dari seorang penceramah dan pengarang antarabangsa yang terkenal Yasmin Mogahed yang dianjurkan oleh Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur dengan kerjasama Qalby Sdn. Bhd.



Berkenan berangkat mendengarkan ceramah yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan adinda-adinda Kebawah DYMM, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah.



Ceramah yang banyak menumpukan kepada buku Sastera Islam beliau berjudul 'Reclaim Your Heart: Personal insights on breaking free from life's shackles', Yasmin Mogahed menghuraikan mengenai perjalanan kehidupan berdasarkan pengalaman hidupnya.



''Ini adalah sebuah buku tentang bagaimana kita memulakan kehidupan tanpa menjadi hamba kepada kehidupan ini, tentang bagaimana kita boleh hidup di dunia tanpa membenarkan dunia menguasai hidup kita dan ia bukan suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.



Apabila awda membiarkan dunia menguasai hati awda, membiarkan diri awda mencintai dunia dengan cara tidak sepatutnya, ketika itulah dunia memusnahkan kita,'' jelasnya.



Penulis juga menerangkan mengenai 'Reclaim Your Heart' yang menceritakan mengenai proses keduniaan yang menjadi keutamaan diri termasuk wang, status, kuasa, kemasyhuran, atau orang lain di dalam hidup kita.



Dalam bukunya, Yasmin juga menyentuh mengenai lampiran palsu, cinta, kesulitan, hubungan dengan Pencipta, status wanita dan ummah dan sebagainya.

Objektif Ceramah Motivasi Islam ini adalah untuk menghubungkannya dengan tujuan hidup sebenar yang hampir dilupakan.



Yasmin Mogahed merupakan Penceramah Motivasi Islam yang pertama yang diketengahkan oleh Sekolah Antarabangsa Miftah An-Nur dengan kerjasama Qalby Sdn. Bhd., di Negara Brunei Darussalam di mana negara ini merupakan perhentian terakhir beliau tahun ini setelah menyampaikan ceramah motivasi di Malaysia, Australia dan juga New Zealand.


Close