Manage PermissionsManage Permissions

Bukti penggeledahan, penyitaan didedahkan



‚ÄčOleh : Rohani Haji Abdul Hamid, Nooratini Haji Abas / Foto : Azmah Haji Ahad, Mohd. Sahrizal Haji Said

 






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Oktober.- Seramai enam pegawai Biro Mencegah Rasuah (BMR) dipanggil oleh pihak Pendakwa Raya yang diketuai oleh Jonathan Caplan QC untuk memberi keterangan di dalam perbicaraan terhadap Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kolonel (B) Haji Abdul Rahman (Tertuduh Pertama) dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin (Tertuduh Kedua) di Mahkamah Tinggi hari ini.

 

Seorang pegawai yang terlibat dalam penggeledahan kedua di bilik pejabat Tertuduh Pertama pada 10 Januari 2018 memberi keterangan bahawa antara barang-barang yang telah disita daripada laci yang berkunci di bilik itu adalah buku-buku akaun, borang pengeluaran wang tunai, persuratan bank, penyata-penyata akaun bank, fail-fail kebankrapan, resit-resit rasmi dan juga wang tunai berjumlah BND47,488.

 

Mahkamah juga mendengar keterangan daripada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab untuk menyita kereta-kereta kepunyaan kedua-dua tertuduh.

 

Pada sebelah petang 5 Mac 2018, BMR telah menggeledah dan menyita kereta-kereta berjenama Porsche Cayman GT4; Porsche Cayman; Mercedes Benz AMG; Porsche Macan; Range Rover dan Volkswagen Golf R.

 

Kesemuanya adalah dari kediaman keduanya. Semua kenderaan tersebut juga ditandakan dengan borang penyitaan pada cermin hadapan dan telah dimasukkan ke dalam penarik kereta sebelum dihantar ke tempat simpanan.

 

Pada sebelah malam pula, ada beberapa kereta telah digeledah dan disita daripada kediaman ibu bapa tertuduh pertama.

 

Kereta-kereta berkenaan iaitu Mercedes Benz CLS 63 Coupe AMG, Nissan GTR Premium Edition, Audi Q7 dan dua buah Jaguar F Type.

 

Pada 12 Mac 2018, sebuah Volkswagen Sirocco R dan Mercedes Benz SLK 55 AMG telah disita daripada kediaman Tertuduh Pertama.  

 

Gambar-gambar yang telah diambil semasa penggeledahan bilik-bilik pejabat tertuduh dan juga rumah mereka telah ditunjukkan ke Mahkamah.  

 

Keterangan-keterangan daripada tertuduh telah direkodkan oleh pegawai-pegawai BMR.

 

Jonathan Caplan QC memaklumkan kepada Mahkamah bahawa isi kandungan keterangan-keterangan tersebut akan dibacakan di dalam Mahkamah.

 

Perbicaraan akan disambung lagi pada 9 Oktober 2019, jam 9 pagi.


Close