Manage PermissionsManage Permissions

NBD kongsi pendekatan penjagaan kesihatan



​Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Kesihatan

 





MANILA, FILIPINA, Selasa, 8 Oktober. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar kini berada di Manila, Filipina bagi menghadiri Sidang ke-70 Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk Pasifik Barat yang berlangsung dari 7 Oktober hingga 11 Oktober 2019.

 

Menteri-menteri kesihatan dan wakil-wakil dari 37 buah negara dan kawasan di dalam Wilayah Pasifik Barat mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Serantau setiap tahun bagi membincangkan keutamaan dan tindakan dalam membawa kesihatan yang lebih baik kepada penduduk di rantau ini.

 

Tahun ini merupakan tahun ke-70 Persidangan Jawatankuasa Serantau tersebut diadakan dan merupakan mesyuarat pertama di bawah pimpinan Pengarah Serantau baharu iaitu Dr. Takeshi Kasai.

 

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham pada tahun ini telah dipilih sebagai Naib Pengerusi untuk sesi Jawatankuasa Serantau.

 

Antara agenda mesyuarat itu ialah perbincangan mengenai kertas putih Untuk Masa Depan: Ke Arah Kawasan yang Sihat dan Aman - kertas polisi yang dibangunkan untuk memberi respons kepada cabaran-cabaran kesihatan semasa dan masa depan di rantau ini dan untuk mengungkapkan visi bagi tugasan WHO bersama negara anggota dan rakan kongsi dalam lima tahun akan datang.

 

Sebagai tindak balas kepada perbincangan tersebut, Negara Brunei Darussalam mengongsikan bahawa keutamaan bagi Wilayah Pasifik Barat yang digariskan dalam Kertas Putih tersebut sejajar dengan Negara Brunei Darussalam seperti yang ditunjukkan dalam Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019-2023 yang baharu.

 

Beliau seterusnya menyampaikan bahawa Pelan Strategik tersebut mengutamakan lima matlamat utama iaitu kecemerlangan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan; pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit; perlindungan kesihatan awam melalui dasar dan peraturan yang efektif; kedayatahanan melalui penggunaan sumber yang optima dan inovasi, dan sistem peraturan dan urus tadbir yang telus dan proaktif.

 

Mengenai isu melindungi kanak-kanak daripada kesan berbahaya pemasaran makanan, Brunei Darussalam berkongsi kebimbangan terhadap kenaikan obesiti terutamanya di kalangan kanak-kanak walaupun peningkatan kesedaran mengenai pemakanan sihat di kalangan masyarakat dan program kesedaran kesihatan mengenai pemakanan sihat.

 

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam menyeru tindakan bersepadu untuk mengambil kira bagaimana, dengan kemampuan mereka untuk membentuk pendapat umum mengenai pengambilan makanan, syarikat media dan industri teknologi dalam talian yang bertanggungjawab dalam operasi menjaga kepentingan awam.

 

Mengenai kawalan tembakau, Brunei Darussalam mengenal pasti perdagangan haram produk tembakau dan pemasaran produk seperti e-rokok, vape dan produk tembakau yang menjadi kebimbangan utama negara. Dalam menangani isu tersebut, Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, dan agensi penguatkuasaan undang-undang, ke arah pengesahan Protokol untuk Menghapuskan Perdagangan Haram dalam Produk Tembakau.

 

Kementerian Kesihatan juga telah memperkukuhkan akses dan kualiti perkhidmatan pemberhentian merokok di seluruh sektor kesihatan, dan bermatlamat dalam mengukuhkan lagi penguatkuasaan undang-undang kawalan tembakau yang sedia ada.

 

Pada perbincangan panel tentang warga emas dan kesihatan, Negara Brunei Darussalam berkongsi pendekatannya sebagai tindak balas terhadap perubahan demografi dengan peningkatan penduduk warga emas.

 

Dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan warga emas, pendekatan peralihan dari penjagaan berasaskan hospital kepada penyampaian penjagaan yang lebih dekat dengan rumah telah dikenal pasti, di mana pusat jagaan harian berasaskan komuniti iaitu Pusat Amal Cerah Sihat untuk warga emas, keluarga dan penjaga mereka telah ditubuhkan dengan kerjasama sektor swasta dan masyarakat awam.

 

Negara Brunei Darussalam juga menyatakan bahawa negara menghargai warga emas sebagai aset dan akan terus berusaha untuk menyokong warga emas untuk hidup secara bebas dengan sistem penjagaan kesihatan yang mesra-umur.

 

Turut mengiringi Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Awang Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dan pegawai-pegawai kanan lain dari Kementerian berkenaan.


Close