Manage PermissionsManage Permissions

Lebih BND15 juta pengeluaran wang tunai



‚ÄčOleh : Rohani Haji Abdul Hamid, Nooratini Haji Abas \ Foto : Hernie Sulaina Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 Oktober. - Perbicaraan terhadap Tertuduh Pertama, Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Tertuduh Kedua, Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin disambung lagi di Mahkamah Tinggi, di sini.



Dalam perbicaraan tersebut, sebanyak empat orang saksi dari Biro Mencegah Rasuah (BMR) memberikan keterangan.



Salah seorang pegawai dari BMR mengenai pengambilan gambar semasa penggeledahan di rumah tertuduh pada 8 Mac 2018, ada mengambil gambar-gambar sebanyak 456 barang-barang berjenama terdiri daripada beg tangan, beg duit, jam tangan, kasut dan aksesori tertuduh.



Manakala salah seorang Penolong Penyiasat Khas diarahkan untuk menjadi Pegawai Penyiasat bagi kes terhadap Tertuduh Pertama. Beliau juga bersama dengan pegawai-pegawai lain turut menganalisa dokumen-dokumen yang telah disita dari pejabat Tertuduh Pertama dan mendapati bahawa ada pengeluaran wang tunai dibuat daripada akaun-akaun BIBD Penerima Rasmi (OR) di bawah nama Tertuduh Pertama.



Ini adalah berdasarkan buku-buku akaun, salinan borang pengeluaran wang tunai dan persuratan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang menyatakan ada pengeluaran wang tunai telah dibuat.



Sementara pada 8 Januari 2018, Pegawai-pegawai BMR menjumpai satu beg yang berkunci mengandungi fail-fail kebankrapan. Menurut siasatan, 15 daripada 19 fail kebankrapan mengandungi pengeluaran wang tunai oleh Tertuduh Pertama.



Siasatan lanjut ke atas kes-kes kebankrapan di bawah kendalian Tertuduh Pertama telah dijalankan dan pada masa yang sama, bank-bank tempatan juga dihubungi untuk pertanyaan lanjut. Bagi membantu siasatan, BIBD telah menyerahkan 608 borang pengeluaran wang tunai yang asal bagi transaksi yang dibuat oleh Tertuduh Pertama. Borang-borang ini adalah bagi pengeluaran wang tunai dari 255 akaun-akaun OR mulai dari 18 November 2004 sehingga 5 Disember 2017 dalam jumlah BND15,750,292.24.



Dilihat daripada penyata-penyata akaun, ada tiga tarikh lain yang mana pengeluaran wang tunai telah dibuat, tetapi tidak ada borang pengeluaran wang tunai yang asal telah dijumpai oleh BIBD.



Sebuah fail yang mengandungi surat-surat telah dijumpai di dalam laci meja pejabat Tertuduh Pertama pada 10 Januari 2018. Saksi tersebut telah meneliti persuratan ini dan mendapati bahawa ada surat-surat yang ditujukan kepada Standard Chartered Bank (SCB) dan Maybank untuk memaklumkan bank tersebut bahawa pihak mahkamah akan membuka akaun OR lain bagi tujuan untuk mengumpul dividen yang lebih tinggi.



Walau bagaimanapun, akaun-akaun di SCB dan Maybank itu masih lagi dibiarkan aktif. Wang-wang yang terkumpul di dalam akaun-akaun tersebut diminta untuk dikeluarkan melalui cek bagi pembukaan akaun kedua.



Persuratan tersebut dilampirkan dengan salinan surat-surat kepada BIBD yang tidak bertarikh untuk mengarahkan pembukaan akaun OR dan cek telah diberikan untuk dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Surat-surat ini telah ditandatangani oleh Tertuduh Pertama.



Daripada dokumen-dokumen ini, Pegawai Penyiasat telah mendapati bahawa Tertuduh Pertama telah membuka dua akaun OR bagi 18 orang penghutang. Akaun kedua ini dibuka di BIBD. Corak perbuatan Tertuduh Pertama yang dapat dilihat setelah meneliti penyata-penyata akaun ialah setelah akaun OR dibuka menggunakan cek yang dimasukkan, Tertuduh Pertama akan mengeluarkan wang tunai daripada akaun OR kedua itu.



Salah satu akaun-akaun yang terjejas melibatkan sebentuk cek yang telah diisu oleh SCB dalam jumlah BND504,557.51 yang telah dimasukkan ke dalam akaun OR yang baharu pada 13 Oktober 2015. Pada 1 Disember 2015, Tertuduh Pertama mengeluarkan BND503,000.



Penyiasatan yang dijalankan oleh saksi ini tidak ada menunjukkan wang-wang yang dikeluarkan daripada 18 akaun OR ini telah digunakan untuk pembayaran dividen.




Close