Manage PermissionsManage Permissions

Pastikan kelancaran perhimpunan, perarakan Maulud Nabi



‚ÄčOleh : Mohammad Rainie Haji Durani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 






 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 November. - Umat Islam seluruh dunia termasuk di negara ini tidak terkecuali untuk sama-sama meraikan tarikh kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu tarikh bersejarah dalam kalendar Islam.

 


Sehubungan itu, Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1441 Hijrah akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, pada Sabtu, 12 Rabiulawal 1441 bersamaan 9 November 2019 ini nanti, mulai jam 7.00 pagi.

 


Bagi melancarkan sambutan tersebut, pagi tadi latihan penuh diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

 


Hadir bagi memastikan majlis berjalan lancar ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah.

 


Turut berangkat Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

 


Juga turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1441 Hijrah serta Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

 


Laluan perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun ini ialah sejauh 2.3km di sekitar Bandar Seri Begawan dan tema sambutan ialah 'Meneladani Muamalat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam'.

 


Pegawai Ugama di Bahagian Kemajuan Syi'ar Islam, KHEU, Awangku Muhammad Aziman bin Pengiran Haji Rakawi semasa ditemu bual menjelaskan bahawa salah satu cara penghayatan tema tersebut ialah umat Islam perlulah memahami makna sebenar Muamalah Islam yang merupakan manifestasi keperibadian Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, yang mencakupi semua hukum syariat yang berkait rapat dengan urusan dunia termasuk tatacara dan peraturan dalam perhubungan sesama manusia bagi memenuhi tuntutan kehidupan dan keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah Subhanahu Wata'ala.

 


Jelasnya lagi, ringkasnya Muamalah merangkumi ekonomi dan sosial Islam. Dalam konteks ekonomi, umat Islam adalah digalakkan untuk memiliki harta yang dilimpahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dianugerahkan.


Close