Manage PermissionsManage Permissions

Perutusan tahniah untuk Republik Demokratik Rakyat Lao







BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Disember. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Bounnhang Vorachit, dan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Dr. Thongloun Sisoulith, serta kerajaan dan rakyat Republik Demokratik Rakyat Lao sempena Hari Kebangsaannya yang ke-44.

 


Di dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Bounnhang Vorachit, baginda amat menghargai persahabatan dan hubungan muhibbah yang sekian lama dinikmati di antara kedua-dua buah negara, dan berharap akan terus bekerja dengan Tuan Yang Terutama bagi meningkatkan lagi kerjasama yang sangat bernilai ini untuk kemanfaatan kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.



Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Dr. Thongloun Sisoulith, baginda menzahirkan kegembiraan dapat mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam pada awal tahun ini, yang mana lawatan Tuan Yang Terutama itu adalah merupakan kesempatan yang baik dalam mengukuhkan lagi komitmen ke arah mengeratkan persahabatan dan kerjasama yang sangat bernilai di antara kedua-dua buah negara di peringkat dua hala mahupun perkongsian serantau dalam ASEAN.

 


Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, baginda menyampaikan salam muhibbah kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Bounnhang Vorachit dan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Dr. Thongloun Sisoulith dan berharap semoga Tuan Yang Terutama berdua sentiasa di dalam kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan dan bergembira dalam menyambut perayaan tersebut.

 


Close