Manage PermissionsManage Permissions

Pingat gangsa milik skuad polo negara




‚ÄčOleh : Haji Ahmad Haji Salim / Foto : Hamzah Mohidin

 

 



CALATANGAN, FILIPINA, Ahad, 1 Disember. - Pasukan Polo Negara Brunei Darussalam berjaya merangkul pingat gangsa setelah menewaskan pasukan Indonesia dengan keputusan 5 berbalas 4 dalam perlawanan akhir polo Divisyen A high goals (4 - 6) Temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Kali Ke-30 Filipina, yang berlangsung di Inigo Zobel Polo Field.

 


Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 


Pasukan polo negara disertai oleh paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah.

 


Juga berangkat menyaksikan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, selaku Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC); dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 


Keberangkatan Kebawah DYMM turut dijunjung oleh Chef de Mission Kontinjen NBD, Awang Haji Muhd. Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

 


Dalam perlawanan chaka pertama, pasukan negara ketinggalan dua gol. Namun kegembiraan pasukan Indonesia tidak bertahan lama apabila Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, selaku ketua pasukan berjaya memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol pertama buat pasukan negara.

 


Sejurus chaka kedua, skuad negara berjaya menambah gol kedua yang dihasilkan oleh Awang Huzaimi bin Haji Mahari.

 


Pasukan Indonesia terus membuat serangan demi serangan dengan menambah dua gol lagi ke gawang skuad negara.

 


Sementara dalam chaka ketiga, pasukan negara menunjukkan prestasi permainan yang sangat baik, dengan pergerakan yang begitu pantas sehingga berjaya menambah dua gol lagi menjadikan kedudukan 4 - 4.

 


Kedua-dua gol dihasilkan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

 


Pasukan negara terus menggegarkan pasukan lawan pada chaka keempat dengan menambah gol melalui sumbangan Awang Huzaimi bin Haji Mahari dengan pukulan belakang (back shoot) menjadikan kedudukan 5 berbalas 4 sehingga tamat perlawanan.

 


Juga hadir ke perlawanan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Hajah Johariah binti Haji Abdul Wahab.

 


Terdahulu, pada perlawanan kedua yang lalu, pasukan negara telah mengalahkan pasukan Indonesia dengan jaringan 7 berbalas 4.

 


Penyampaian pingat kepada para pemenang disempurnakan oleh Ahli Kongres Republik Filipina, Tony Pet Albano. Pingat emas disandang oleh pasukan Malaysia manakala pingat perak diraih oleh pasukan tuan rumah, Filipina.

 


Pasukan negara akan meneruskan perlawanan acara polo bagi Divisyen B low goals (0 - 2) pada 3 Disember ini di Miguel Romero Polo Field.

 


Close