Manage PermissionsManage Permissions

Basma dan Hosea sumbang pingat perak acara Wushu



Berita dan Foto : Aimi Sani

 




MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Ahad, 1 Disember. - Skuad wushu negara mempamerkan aksi cemerlang sekaligus memberikan khabar yang gembira dari Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center - WTC), Metro Manila setelah berjaya merangkul dua pingat perak buat kontinjen Brunei dalam Temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Kali Ke-30.

 


Basma Lachkar dan Hosea Wong Zheng Yu masing-masing menyumbangkan pingat perak melalui acara Women's Taijiquan dan Men's Taijiquan.

 


Bagi acara Women's Taijiquan, negara tuan rumah, Filipina, Agatha Chrystenz mendapat pingat emas dengan kutipan mata 9.67 mata diikuti dengan Basma Lachkar dengan kutipan mata 9.55 mata dan pingat gangsa dimenangi oleh Thi Minh Huyen dari Viet Nam yang mengutip 9.53 mata.

 


Sementara bagi acara Men's Taijiquan pula, Loh Choon How dari Malaysia mengumpul 9.68 mata sekaligus mendapat pingat emas, Hosea Wong Zheng Yu mengumpul 9.59 mata manakala gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Parantac Daniel yang mengutip 9.56 mata.

 


Kedua-dua atlet yang berumur 16 tahun itu, Basma dan juga Hosea ketika ditemui sejurus selasai kejohanan berkata mereka berasa amat berbangga dan mengucapkan terima kasih kepada jurulatih serta semua yang terlibat. Kami amat gembira dan berbangga kerana berjaya merangkul dua pingat perak buat Brunei.

 


"Sebenarnya, kami tidak menyasarkan apa-apa pingat kerana tidak mahu tertekan. Kami hanya berlatih dan mempersiapkan diri untuk melakukan yang terbaik dan ianya membuahkan hasil," ujar mereka.

 


Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

 


Turut berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir dan anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Aliiyah Amalul Bulqiah.

 


Perlawanan seterusnya akan di sambung besok bagi acara Men's Nangun di tempat yang sama.

 


Close