Manage PermissionsManage Permissions

Royal Bees pamer peningkatan meskipun tewas kepada Malaysia



Berita dan Foto : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

 




MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Ahad, 1 Disember. – Skuad bola jaring negara patut diberikan pujian setelah mereka menampakkan kejayaan dan peningkatan mutu permainan yang berkesan meskipun tewas di tangan pasukan Malaysia dengan jaringan keseluruhan 64 – 40 pada Perlawanan Peringkat Separuh Akhir Bola Jaring antara Brunei dengan Malaysia di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Kali Ke-30 yang berlangsung di STA, Rosa Multi-Sports Complex, Laguna, di sini.

 


Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku Ketua Pasukan Royal Bees berkenan berangkat bagi menyertai perlawanan tersebut.

 


Pada suku masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi, berbalas serangan dan jaringan gol.

 


Walaupun rata-rata kesemua pemain pasukan Malaysia yang mempunyai ketinggian badan dan ia juga adalah suatu kelebihan bagi mereka, namun faktor tersebut bukan dijadikan sebagai penghalang untuk skuad negara pamerkan dan beraksi dengan cemerlang, sehingga anak bimbingan jurulatih Malaysia, Tracey Robinson itu mula merasa gusar dengan permainan skuad negara yang semakin mantap.

 


Akan tetapi di minit akhir suku masa pertama, pasukan lawan berjaya mendahului jaringan gol dengan 17 – 13.

 


Manakala dalam suku masa kedua dan ketiga pula, pasukan Malaysia beraksi dengan lebih cemerlang.

 


Kebanyakan hantaran bola hasil dari anak bimbingan jurulatih bola jaring kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Jane Searle sering di pintas oleh pemain tengah pasukan lawan sehingga skuad negara terpaksa akur dengan jaringan gol 16 – 8 di suku masa kedua dan 18 – 8 pada suku masa ketiga.

 


Babak suku masa terakhir pula menyaksikan, kebangkitan skuad negara memberikan perlawanan yang sengit dan sering berbalas serangan dan jaringan, yang mana akhirnya pasukan lawan berjaya mengatasi jaringan 13 - 11.  

 


Pengurus Pasukan skuad negara, Royal Bees, Dayang Sabariah binti Haji Kamel Jumat ketika di temu bual sejurus selesai perlawanan berkata, perlawanan kali ini adalah sengit jika dibandingkan pada dua tahun lepas semasa Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, Malaysia yang mana skuad negara pada masa itu banyak ketinggalan mata jaringan gol, akan tetapi pada Sukan SEA Kali ke-30 ini, ia telah menampakkan kejayaan walaupun tewas tetapi jarak jaringan gol pada perlawanan kali ini tidak jauh iaitu 64 – 40.

 


Ini tambahnya, boleh dikatakan skuad bola jaring negara pada tahun ini, amat membanggakan dan perubahannya telah ternyata nampak jika dibandingkan pada Sukan SEA 2017 yang lalu.

 


Penolong Pengurus skuad negara, Dayang Masnurfaiza binti Md. Zaini pula menjelaskan, "Pasukan bola jaring negara dapat mencapai matlamatnya kerana dapat dilihat dari segi peningkatan prestasi mereka dan sentiasa memperbaiki ruang yang perlu diperbaiki dan jika dibandingkan, memang ada kemajuan dari perlawanan sebelum ini".

 


Ujar beliau lagi, "Memang matlamat kami adalah untuk mengurangkan jarak jaringan gol, dan ini merupakan salah satu perlawanan yang terbaik di persada Sukan SEA kali ini".

 


Beliau seterusnya menambah, walaupun sudah tamat perjuangan kali ini, Royal Bees katanya, akan sentiasa berusaha meningkatkan mutu permainan bola jaring.

 


Dalam pada itu, bekas juara bola jaring Sukan SEA-29, Malaysia mara ke peringkat akhir dan bakal bertemu dengan pasukan Singapura, jaguh bola jaring di rantau ini pada perlawanan yang diadakan di STA, Rosa Multi-Sports Complex, Laguna, esuk, jam 3.00 petang hingga 4.30 petang.

 


Close