Manage PermissionsManage Permissions

Rasuah merugikan negara



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Januari – Kementerian Pembangunan adalah digesa untuk tidak melakukan kerja-kerja yang merugikan kerajaan dan rakyat khususnya dalam projek-projek pembangunan. Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan adalah digesa untuk tidak salah pilih sebarang kontraktor dan pemborong malah pastikan yang dipilih itu mempunyai rekod yang baik.

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu dalam titah semasa berkenan berangkat melakukan Lawatan Tidak Berjadual ke Kementerian Pembangunan dan beberapa buah jabatan di bawahnya.

 


Baginda seterusnya bertitah, Kementerian Pembangunan adalah dipertanggungjawabkan bagi kerja-kerja penyediaan infrastruktur awam yang meliputi penyediaan perumahan prasarana jalan raya, bekalan air, saliran dan pembetungan, persekitaran yang bersih, penggunaan tanah dan pemudah cara bagi pertumbuhan industri pembinaan.

 


"Melihat kepada keterlibatan dengan pelbagai projek, maka wujud kesempatan untuk berlakunya jenayah atau salah laku di dalam negara ini kerana rasuah boleh melemahkan pentadbiran dan meruntuhkan negara. Selaku bangsa yang beragama, kita mesti ingat bahawa rasuah adalah jambatan ke neraka," titah baginda.

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menekankan bahawa orang boleh sahaja terjebak memilih kontraktor dan pemborong dari luar negara di mana kononnya untuk mengharapkan hasil yang berkualiti akan tetapi sebaliknya, mereka curang, menggunakan bahan yang murah untuk meraih keuntungan yang lebih.

 


"Lebih malang lagi, jika pihak yang bertanggungjawab dalam kerajaan pula tidak memantau atau mengawasi perkara ini atau mereka sebenarnya tahu, tetapi bersekongkol melakukan kecurangan demi untuk meraih habuan dari pintu belakang," tegas Kebawah DYMM .

 


Sehubungan itu, hasilnya, terdapatlah sebilangan besar rumah-rumah yang siap dibina mengalami kerosakan teruk khususnya ke atas struktur bangunan seperti bahagian 'beam' rosak, paip-paip air terturun disebabkan permukaan tanah yang terturun, kerosakan siling dan paip kamar mandi yang bocor.

 


"Beta terpaksa menyebut di sini beberapa contoh, satu, pangsapuri nombor H40, Kawasan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan, bangunan ini mempunyai 300 buah apartmen yang kelihatan sudah siap serta mempunyai banyak kemudahan seperti kawasan letak kereta bertingkat, kawasan riadah dan kawasan permainan tetapi masih sahaja kosong sejak dua tahun lalu".

 


"Dua, Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba, Jalan 99, terdapat bangunan rumah teres, nampak-nampaknya projek ini tergendala dengan kawasannya telah dipenuhi dengan samak-samak".

 


"Tiga, Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau, di sini terdapat seribu buah rumah bagi rancangan ini, namun rancangan juga dilihat seperti tergendala dengan rumah-rumah mengalami kerosakan. Rancangan Perumahan tersebut difahamkan di bawah pengurusan pihak Brunei Economic Development Board (BEDB) yang dahulu dan dikendalikan oleh kontraktor luar negara. Bayangkan seribu buah rumah, bukannya sedikit serta kos pembinaan juga bukanlah murah. Jadi salah siapakah itu?".

 


"Empat, Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang, Jalan Binglu, di sini juga terdapat rumah-rumah kosong, tidak berpenghuni kerana didapati tidak selamat untuk didiami. Mengapakah ia tidak selamat? Memerlukan pencerahan untuk diambil perhatian dan pengajaran daripadanya," tegas baginda.

 


Kebawah DYMM seterusnya menekankan bahawa perkara-perkara berkenaan, memerlukan perhatian yang serius dan tidak boleh diambil ringan begitu sahaja malah ia perlu dicari atau dikenal pasti punca-puncanya mengapakah rancangan tersebut tergendala.

 


Mengapakah kerosakan-kerosakan begitu mudah terjadi dan mengapakah rumah-rumah jadi kosong, tidak selamat untuk didiami? Mengapa perkara-perkara ini boleh berlaku?

 


"Pihak-pihak berkenaan, tidak boleh tidak, mesti bertanggungjawab untuk mencari punca-puncanya. Adakah mungkin projek tergendala kerana kita tersilap pilih pemaju atau kontraktor?" Adakah rumah-rumah mudah rosak kerana pihak pemaju atau kontraktor curang memilih bahan-bahan binaan yang murah".


 

"Kalaulah ini betul, mengapakah pihak yang bertanggungjawab membiarkan penggunaan bahan-bahan yang murah itu dan mengapa tidak dipastikan lebih awal faktor keselamatan sebelum bangunan didirikan?" Semua ini meminta lebih bertanggungjawab daripada pihak-pihak berkenaan di dalam kerajaan," titah baginda.

 


Dalam titah baginda turut menyentuh mengenai isu tertentu di bawah Skim Perumahan, Jabatan Kemajuan Perumahan di mana ia mengenai dengan pemilik-pemilik rumah yang ada menyewakan rumah mereka kepada warga tempatan atau warga asing.


 

"Isu tersebut ialah mengenai pemilik-pemilik rumah di bawah skim ini, ada yang menyewakan rumah-rumah mereka kepada orang lain, sama ada, dari kalangan warga tempatan mahupun warga asing sedangkan dalam perjanjian terdapat peraturan dan syarat, tidak membenarkan untuk menyewakan rumah kepada orang lain bagi tempat tinggal atau menjalankan sebarang perniagaan seperti pejabat, kedai runcit atau gerai makan dan lain-lain serta tidak juga dibenarkan untuk menjual atau menggadaikan rumah atau tanah kepada pihak-pihak lain.

 


Sehubungan itu, peraturan dan syarat ini cukup jelas malah sekiranya pihak berkenaan mengambil sikap tegas berdasarkan peraturan dan syarat tersebut, nescaya perlanggaran tidak akan berlaku. Beta ingin melihat ianya dilaksanakan, bukan sekadar bagus di atas kertas. Demikianlah beberapa perkara yang mendesak untuk disebut. Akhirnya Beta serahkan kepada pihak kementerian yang berkenaan untuk mengambil perhatian dan tindakan," titah baginda.

 


Close