Manage PermissionsManage Permissions

Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Temburong dirasmikan



Berita dan Foto : Muhammad Akmal Haji Ali

 




TEMBURONG, Isnin, 13 Januari. - Majlis Pelancaran Perasmian Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Temburong telah diadakan di Bangunan Kompleks Utama Bumiputra, Pekan Bangar, Daerah Temburong, di sini.

 


Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di daerah ini ditubuhkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan kerjasama Pusat Kegiatan Warga Emas Temburong dan terletak di Bangunan Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, Daerah Temburong.

 


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterus merasmikan penubuhan PKWE bagi Daerah Temburong itu ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.


 

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan juga Penghulu Mukim Bokok; Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman,   Setiausaha Tetap KKBS; Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Timbalan Setiausaha Tetap KKBS;  Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah,  Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat; Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir, Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung Daerah Temburong, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir PKWE Temburong dan ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei Muara, Tutong dan Belait.

 


Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Puni, Awang Azry bin Haji Mohd Yussof diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan juga Penghulu Mukim Bokok selaku Pengurus sementara Jawatankuasa Tadbir PKWE Temburong, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu.

 


Majlis Perasmian dilancarkan dengan menandatangani Plak oleh tetamu kehormat Majlis. Majlis juga turut menyaksikan pertandingan mengelupis dan menjalin bagi warga emas empat daerah, pameran dan jualan dari setiap kampung dan mukim Daerah Temburong seperti buah-buahan, kuih-kuih tradisi, parang, demonstrasi masakan dan sebagainya.


 

Dengan tertubuhnya Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) bagi Daerah Temburong ini, ia diharap akan dapat memenuhi keperluan warga emas sekali gus menikmati kehidupan yang aktif serta dapat melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan program yang bersesuaian dengan warga emas.


 

Dalam masa yang sama, ia juga diharap akan dapat menarik penglibatan pihak belia dan peringkat masyarakat sekeliling khususnya dalam kegiatan sosial yang berkebajikan ke arah masyarakat yang bersepadu dan berpengetahuan.

 


Close