Manage PermissionsManage Permissions

JMK berjaya serlah fatwa secara konsisten



‚ÄčOleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Januari. - Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) Brunei Darussalam dianggap sebagai satu-satunya agensi agama di dunia yang berjaya menyerlahkan fatwa secara konsisten melalui penerbitan-penerbitan buku.

 


Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku-buku Terbitan JMK, berlangsung di Ruang Legar (Lobi) Bangunan Darulifta, JMK berkenaan, di sini.

 


Menurutnya, terbitan terbaharu buku-buku berkenaan adalah Fatwa Berjilid 1994 hingga 2017, Umara dan Ulama, Masjid dan ath-Thaharah.

 


"Saya melihat keempat-empat buku ini merupakan terbitan sangat bermanfaat untuk dimiliki dan dibaca oleh umat Islam di negara ini khasnya. Mengapa begitu? Kerana ia mengandungi ilmu yang mengupas mengenai hukum-hakam, ibadat dan panduan kehidupan harian," tambahnya lagi.

 


Ujar beliau lagi, adapun penerbitan Buku Fatwa Berjilid dari Tahun 1994 hingga 2017 adalah hasil fatwa terkumpul selama 23 tahun, di mana ia bukanlah satu usaha mudah, tetapi memerlukan kegigihan dan minat besar terhadap ilmu kerana tanpa kegigihan dan minat itu, buku ini tidak akan lahir.


 

Justeru itu, jelas beliau JMK dapat dianggap sebagai satu-satunya agensi agama di dunia yang berjaya menyerlahkan fatwa secara konsisten melalui penerbitan-penerbitan buku dan ini turut diakui oleh rakan-rakan sekerja di luar negara, bahawa Brunei adalah paling ke hadapan dalam usahanya menerbitkan buku-buku fatwa.

 


"Sebagai bukti, bertolak dari tahun 1997 sampailah sekarang, hingga menjangkau hampir suku abad, JMK tidak pernah berhenti dari menerbitkan fatwa dalam bentuk buku. Selain mendapat sambutan dalam negeri, buku fatwa juga amat laris di luar negara apabila jabatan diundang untuk menyertai ekspo-ekspo buku rantau dan antarabangsa.

 


Demikian juga lain-lain bahan terbitan turut kita bukukan. Hingga sekarang saja, Jabatan Mufti telah berjaya menerbitkan sebanyak 124 judul buku, tidak termasuk beberapa bahan terbitan lain, seperti surat berita al-Hadaf, yang telah terbit empat kali setahun. Al-Hadaf benar-benar berjaya meniti masa, sampai kini, telah pun mencapai usianya 23 tahun," jelas beliau.

 


Beliau juga menyatakan Jabatan Mufti turut menerbitkan Cakera Padat (DVD dan VCD) yang mengandungi Ceramah dan Pembentangan Kertas Kerja, termasuk Rancangan di Radio dan Televisyen.


 

"Rasa-rasanya, dengan aktiviti penerbitan yang diusahakan oleh Jabatan Mufti setakat ini, mewajarkan negara layak berbangga. Di peringkat serantau, kita telah beberapa kali menerima anugerah-anugerah penerbitan, seperti Anugerah Perdana Penerbitan Nusantara 2014, Anugerah Buku Umum Terbaik ASEAN 2018 dan Anugerah Buku Terjemahan Terbaik ASEAN 2018," terangnya lagi.

 


Jelasnya, ketiga-tiga anugerah berprestij tersebut dianugerahkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara Malaysia (YPBM), sementara di peringkat tempatan pula, JMK juga katanya meraih beberapa anugerah, antaranya dinobat sebagai Penerbit Terbaik (Ilmiah) 2013, Penerbit Terbaik (Ilmiah) 2014, Penerbit Terbaik (Umum) 2015, yang dianugerahkan semasa Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.


 

"Tidaklah berlebihan jika dikatakan, pemilihan Jabatan Mufti sebagai penerima beberapa anugerah penerbitan tempatan dan serantau ini adalah sebagai pengiktirafan yang bukan dirancang, tetapi ia berlaku semata-mata kerana menepati kriteria mutu. Alhamdulillah, jika ini dapat dibanggakan, maka ia bukanlah kebanggaan Jabatan Mufti, tetapi adalah kebanggaan negara jua," menurutnya lagi.


 

Bukan itu sahaja, Yang Berhormat juga difahamkan, melalui penyertaan jabatan di pameran-pameran dan pesta-pesta buku peringkat serantau dan antarabangsa, yang disertai selama ini telah menyerlahkan hakikat, bahawa buku-buku terbitan JMK, tegasnya turut tersebar, menemui para penggemar buku hingga ke Amerika, Eropah dan Asia.

 


Close