Manage PermissionsManage Permissions

Lancar tiga buah buku baharu, Fatwa Mufti Kerajaan



‚ÄčOleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Januari. - Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri melancarkan tiga buah buku terbitan terbaharunya dan buku Fatwa Mufti Kerajaan Berjilid, bertempat di Ruang Legar (Lobi) Bangunan Darulifta Brunei Darussalam, di sini.

 


Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya menyempurnakan Pelancaran Buku-buku tersebut, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

 


Turut hadir, Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Pegawai-pegawai Kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

 


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pentadbiran JMK, Awang Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman.

 


Ini diikuti dengan ucapan dan pelancaran oleh tetamu kehormat majlis, diiringi dengan bacaan Selawat Ibrahimiah oleh Pegawai dan Kakitangan JMK.

 


Majlis kemudiannya diteruskan dengan Penyampaian Waqaf Buku-buku yang dilancarkan kepada wakil perpustakaan awam dan institusi pengajian tinggi terpilih, di mana buku itu adalah wakaf daripada Pegawai dan Kakitangan JMK.

 


Tiga buah buku yang dilancarkan adalah Ath-Thaharah, iaitu sebuah buku kompilasi 49 rencana Irsyad Hukum, dihimpunkan daripada buku Irsyad Hukum terbitan JMK dari tahun 1996 hingga 2018 dengan harga jualan BND9.

 


Buku setebal 378 muka surat ini mengandungi bimbingan dan penjelasan hukum berkisar mengenai Thaharah, iaitu bersuci, termasuklah permasalahan air, cara dan kaedah menghilangkan najis, istinjak, istibra', wuduk, tayamum, persoalan-persoalan mengenai mandi, hadas dan kebersihan.

 


Huraian dan penjelasan hukum dalam buku ini jelas dan mudah difahami, setentunya akan dapat membantu para pembaca memperoleh ilmu, maklumat betul dan bimbingan hukum mengenai perkara-perkara berkaitan dengan Thaharah.

 


Seterusnya, Umara' dan Ulama yang dijual dengan harga BND6 mengandungi ceramah khas, kertas kerja utama seminar dan muzakarah, disampaikan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan yang dibentangkan di negara ini dan di beberapa buah negeri di Malaysia, iaitu Pemerintahan Raja Salih Membawa Berkat; Kanun Jenayah Syar'iah: Satu Pengenalan; Keunggulan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar 'Abdul 'Aziz Rahimahullah Sebagai Tokoh Yang Dihormati dan Kepimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara'.

 


Antara penjelasan yang dapat diambil dari buku ini ialah bahawa Umara' dan Ulama itu adalah saling terikat atau diikat oleh kepentingan dan keperluan.


 

Umara' dan Ulama, kedua-duanya itu sama-sama memegang peranan dan tidak boleh berpisah. Keduanya sama-sama memimpin, mengurus dan mengatur umat.

 


Ulama dituntut memberi bimbingan dan nasihat, sementara Umara' dituntut melaksanakan nasihat tersebut. Umara' arif lagi bijaksana tidak akan menolak ulama, malah menggunakan ulama.

 


Kemudian, buku Masjid yang dijual dengan harga BND4, di mana ia adalah terjemahan kitab al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, iaitu sebuah kitab muktabar dalam bidang fiqh mazhab Syafi'i, karya Imam an-Nawawi Rahimahullah.

 


Buku ini adalah hasil usaha yang dilakukan oleh para pegawai ilmu di Bahagian Ifta', JKM sebagai salah satu daripada projek ilmiah bagi sumbangan JMK kepada masyarakat. Buku ini amat berfaedah dan dapat dijadikan bahan rujukan dan panduan secara meluas bagi seluruh umat Islam.

 


Buku ini bukan hanya terjemahan semata-mata, tetapi mempunyai ciri-ciri istimewa. Istilah-istilah fiqh, istilah-istilah ilmu hadis dan pendapat mengenai sesuatu hukum yang disebut, tetapi tidak dinyatakan, diberikan penjelasan, semata-mata untuk kemudahan pembaca memahami dan membuat rujukan.

 


Manakala, buku Fatwa Mufti Kerajaan (Berjilid) adalah kompilasi buku Fatwa Mufti Kerajaan yang diterbitkan pada tahun 1994 hingga 2017.

 


Buku ini dijual dengan harga BND350. Set ini turut mengandungi himpunan fatwa yang difatwakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan yang diterbitkan secara berjilid sebanyak sepuluh jilid.

 


Close