Manage PermissionsManage Permissions

‘My Bill Payment’ mudahkan sumbangan kepada Pusat Ehsan



​Oleh : Khartini Hamir / Foto : Hamzah Mohidin

 

 



BENGKURONG, Jumaat, 14 Februari. - Aplikasi 'My Bill Payment' telah wujud sejak tahun 2009, dan telah digunakan oleh ramai orang untuk membayar bil-bil mereka.

 


Pengenalan 'Modul Amal' baru-baru ini di dalam aplikasi berkenaan oleh ThreeG Media Sdn. Bhd. telah mempermudah cara untuk membuat sumbangan dan sesiapa sahaja yang mempunyai telefon bimbit dan Visa atau Mastercard boleh menderma kepada kempen sumbangan Pusat Ehsan dengan hanya menekan paparan pada skrin mereka.

 


Ini akan menjimatkan masa dan kerumitan mereka ke Pusat Ehsan untuk membuat sumbangan, di samping setiap satu sen yang dicagarkan melalui aplikasi ini masuk terus ke akaun Baiduri Bank Pusat Ehsan.


 

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Mr. Simon Leong menggariskan mengenai perkara itu dalam ucapan aluan beliau pada Majlis Pelancaran Aplikasi 'My Bill Payment' bagi kempen sumbangan Pusat Ehsan yang berlangsung pagi tadi bertempat di Dewan Baru pusat berkenaan, di sini.

 


Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan pelancaran kempen tersebut secara Live Demo, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

 


Aplikasi tersebut dilancarkan bagi memudahkan orang ramai menderma ke Pusat Ehsan, selain itu ia juga merupakan aplikasi mudah alih percuma, yang tersedia untuk kedua-dua IOS dan Android.

 


Setakat ini aplikasi berkenaan telah mencapai lebih daripada 300,000 urus niaga yang telah dibuat oleh ahli yang berdaftar.

 


Pada majlis itu juga, satu sumbangan berjumlah BND1,103 melalui kutipan 'My Bill Payment' telah disumbangkan kepada Pusat Ehsan yang diserahkan kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.

 


Majlis pagi itu juga turut diselajurkan dengan Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan BLIA, yang kemudiannya diikuti dengan penyampaian beberapa sumbangan derma dari Ahli-ahli Persatuan BLIA yang diserahkan kepada Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Mohd Alimin bin Haji Abd. Wahab.

 


Atur cara juga turut diserikan dengan beberapa persembahan dari penuntut-penuntut Pusat Ehsan dan dari Persatuan BLIA.

 


Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam adalah merupakan sebuah badan kebajikan bukan kerajaan dan tidak berasaskan keuntungan, yang menyediakan pembelajaran khas, latihan, pemedulian dan perkhidmatan pemulihan anggota tubuh badan kepada insan-insan istimewa di negara ini.

 


Pada masa ini, seramai 230 penuntut istimewa berdaftar di pusat berkenaan cawangan Kampung Bengkurong dan 60 orang lagi di Cawangan Pusat Ehsan di Daerah Kuala Belait.

 


Sehubungan itu, Pusat Ehsan sentiasa mengalu-alukan syarikat-syarikat persendirian dan orang ramai yang ingin menyumbangkan sebarang derma ke pusat berkenaan, dan sebarang maklumat lanjut bolehlah melayari laman sesawang pusat berkenaan di 'www.pusatehsan.org.bn'.

 


Close