Manage PermissionsManage Permissions

Memantapkan ilmu menghalusi solat dan rahsianya



Berita dan Foto : Saerah Haji Abd Ghani

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 Februari. – Kewajipan menunaikan solat terus berkekalan dan tidak akan gugur daripada diri seorang mukalaf walau dalam apa jua situasi dan keberadaannya selama dia masih bernafas serta berakal kerana kewajipan sembahyang itu merupakan tiang atau asas kepada agama Islam. Solat juga merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah Subhanahu Wata'ala di akhirat kelak.

 


Perkara demikian merupakan inti pati kuliah perdana bertajuk 'Demonstrasi Solat' pada Kursus Intensif Menghalusi Solat dan Rahsianya yang disampaikan oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

 


"Oleh itu, wajib ke atas setiap individu Muslim untuk menunaikan solat sesempurna mungkin mengikut rukun dan syarat yang telah ditetapkan di dalam syarak," ujarnya pada kursus yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, kolej berkenaan.

 


Tambahnya, kepentingan untuk khusyuk dalam solat sama ada dari aspek fikiran, bacaan dan perbuatan iaitu dengan menyatukan pemikiran dan merasakan ihsan kepada Allah Subhanahu Wataala.

 


Sementara itu, Pemangku Dekan Fakulti Syariah, KUPU SB, Awang Azman bin Haji Kassim dalam ucapan alu-aluannya berkata, menyedari akan pentingnya menunaikan ibadat solat secara sempurna, maka kursus dihasrat sebagai salah satu komitmen KUPU SB untuk sentiasa memberi sumbangan dan khidmat masyarakat khususnya dalam bidang akademik.


 

Tambahnya, kursus tersebut diadakan selama dua bulan iaitu pada setiap hari Jumaat bermula hari ini sehingga bulan April 2020 nanti. Kursus intensif solat yang disertai oleh lebih 100 peserta itu antara lain mengongsikan beberapa tajuk termasuk rahsia solat, Ashab al-Jabirah, Azan dan Iqamah, rukun sembahyang, sujud sahwi, sunat-sunat sembahyang dan sembahyang orang yang sakit yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah, Fakulti Syariah KUPU SB. Orang ramai yang berminat untuk mengikuti kursus berkenaan bolehlah menghubungi Fakulti Syariah, KUPU SB di talian +673 223 6277 pada waktu pejabat.


Close