Manage PermissionsManage Permissions

Penambahan kapasiti data bakal dilaksanakan



‚ÄčOleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. - Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Pendidikan telah pun membuat perundingan bersama Syarikat Unified National Network Sendirian Berhad (UNN) untuk menambah kapasiti ke atas data 'fixed broadband' di negara ini bagi membolehkan penuntut-penuntut mengikuti pembelajaran secara dalam talian (online).

 

Dalam masa yang sama, penambahan ke atas 'data mobile' termasuk data 'mobile broadband' adalah masih dalam penelitian Syarikat UNN dan pelaksanaannya dijangka akan dapat dibuat dalam masa terdekat ini.

 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media Bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan petang tadi di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

 

Menurut Yang Berhormat, ini adalah berikutan dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan pada 25 Mac 2020 Masihi mengenai pembelajaran bagi semua sekolah rendah, menengah, pusat-pusat tingkatan enam, sekolah-sekolah vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan juga termasuk sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama, sekolah-sekolah swasta yang akan dibuat secara dalam talian (online) bermula Isnin, 5 Syaaban 1441 Hijrah bersamaan 30 Mac 2020 Masihi.

 

Aplikasi atau platform yang tidak berkenaan dengan pembelajaran atau apabila penggunaan data melebihi had kuota yang ditetapkan tambahnya, akan di 'throttle' mengikut terma dan syarat-syarat yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi masing-masing.

 

"Sejak penubuhannya, syarikat UNN sedang aktif dan membuat pelaburan dalam usaha untuk mengembangkan dan meningkatkan infrastruktur telekomunikasi di negara ini," ujar Yang Berhormat lagi.

 

Dengan langkah yang bersepadu ini serta sokongan dari syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini tekannya, akan dapat mendukung objektif Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat dan seterusnya untuk membantu Kementerian Kesihatan dari merebaknya wabak COVID-19 di negara ini amnya dan khususnya kepada penuntut-penuntut sekolah di negara ini.

 

Inisiatif tersebut akan mula dilaksanakan pada Isnin, 5 Syaaban 1441 Hijrah bersamaan 30 Mac 2020 Masihi.

 


Close