Manage PermissionsManage Permissions

Sentiasa pantau keadaan rakyat NBD di luar negeri



‚ÄčOleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. - Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri melalui pejabat-pejabat perwakilannya, sentiasa mengikuti dan memantau perkembangan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

 

Peranan kementerian berkenaan serta pejabat-pejabat perwakilannya adalah bagi memastikan kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di luar negeri sentiasa terjamin.

 

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof menyatakan perkara tersebut pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

 

"Menurut maklumat dari pejabat-pejabat perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negeri, sejak hari Khamis, 19 Mac 2020 dan seterusnya 20, 21 dan 22 Mac 2020 yang lalu, kita mendapati ramai rakyat dan penduduk, khususnya penuntut telah mulai kembali ke tanah air," jelas Yang Berhormat.

 

Sehingga hari ini menurutnya, jumlah bilangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang masih berada di luar negeri adalah sekitar 806 orang yang berdaftar dengan kementerian tersebut melalui perwakilan-perwakilan di luar negeri; 1,534 terdiri daripada penuntut dan 552 terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan serta keluarga yang membawa jumlah keseluruhan seramai 2,892 orang.

 

Dalam mengikuti perkembangan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia ini katanya, Kementerian tersebut sentiasa memantau keadaan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di luar negeri.

 

Di sinilah tekannya, tugas dan tanggungjawab setiap perwakilan Negara Brunei Darussalam dengan memberi tumpuan terhadap keperluan dan kesulitan yang mungkin mereka hadapi.

 

Jika sekiranya di negara tersebut tidak mempunyai sebarang pejabat perwakilan atau kedutaan Negara Brunei Darussalam jelasnya, dan jika mereka mungkin akan menghadapi sebarang kesusahan, mereka bolehlah mendapat bantuan melalui pejabat-pejabat perwakilan Negara Brunei Darussalam yang berhampiran di mana mereka berada.

 

"Saranan saya beberapa hari yang lalu ini ialah bagi rakyat-rakyat untuk mendaftar melalui 'e-register' ataupun kedutaan-kedutaan atau pejabat-pejabat perwakilan yang berada di luar negeri dengan melayari laman sesawang kementerian ini, 'www.mfa.gov.bn' dan sekiranya ada keperluan atau kecemasan boleh menghubungi talian Hotline kementerian iaitu +673 8716001 ataupun menerusi' hotline-hotline' perwakilan-perwakilan yang berada di luar negeri," tambahnya lagi.


Close