Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Tiga sembuh, lima lagi kes baharu disahkan



‚ÄčOleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. - Sebanyak lima lagi kes baharu disahkan dijangkiti COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang membawa jumlah keseluruhan kes kepada 114 orang, hari ini.

 

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara tersebut pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

 

Menurut Yang Berhormat, Kes 110 berumur 21 tahun ialah seorang warga tempatan yang telah pulang ke negara ini dari United Kingdom pada 23 Mac 2020 dengan menaiki pesawat BI004 (tempat duduk 35E). Beliau mula mengalami batuk dan sakit tekak pada 20 Mac 2020.

 

Manakala Kes 111 berumur 42 tahun mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan Kes 73, 80, 88, 101, 108, 109, 112 dan 114. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom dan telah pulang ke negara ini pada 15 Mac 2020 di mana ujian makmal beliau pada ketika itu adalah negatif.

 

Walau bagaimanapun tambah Yang Berhormat, beliau telah kemudiannya terdedah kepada beberapa kes yang telah disahkan dengan COVID-19. Beliau tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.

 

Sementara Kes 112 berumur 51 tahun jelas Yang Berhormat, juga mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan Kes 73, 80, 88, 101, 108, 109, 111 dan 114. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Ujian awal makmal beliau pada 20 Mac 2020 adalah negatif dan beliau telah mula menjalani kuarantin sejak hari tersebut. Walau bagaimanapun, beliau sekali lagi menjalani ujian makmal pada 24 Mac 2020 berikutan pengesahan Kes 101 di dalam kluster berkenaan.

 

Bagi Kes 113 berumur 20 tahun adalah merupakan anak kepada Kes 103. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan telah mula mengalami demam panas dan sakit kepala pada 22 Mac 2020. Sementara itu, Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa penyiasatan kes bagi Kes 103 masih lagi giat dijalankan.

 

Yang Berhormat seterusnya berkata, Kes 114 berumur 50 tahun mempunyai hubungan dengan kluster yang berkaitan dengan Kes 73, 80, 88, 101, 108, 109, 111 dan 112. Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Ujian awal makmal beliau pada 20 Mac 2020 adalah negatif dan beliau telah mula menjalani kuarantin sejak hari tersebut.

 

Walau bagaimanapun jelas Yang Berhormat, beliau sekali lagi menjalani ujian makmal pada 24 Mac 2020 berikutan pengesahan Kes 101 di dalam kluster berkenaan. Beliau telah mula mengalami demam panas dan selesema pada 24 Mac 2020.

 

"Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa Alhamdulillah, pada hari ini tiga kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah," ujar Yang Berhormat.

 

Oleh itu, jelas Yang Berhormat lagi, setakat ini sejumlah lima orang telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah. Ini juga bermakna daripada 109 kes yang masih dirawat di Pusat berkenaan, seorang masih dalam keadaan kritikal, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan alat bantuan 'heart / lung machine' (ECMO). Sementara itu, tiga orang lagi dalam pemantauan rapi dan selebihnya dalam keadaan yang baik.

 

Yang Berhormat menambah, Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan bahawa pada ketika ini seramai 1,221 orang sedang menjalani kuarantin, menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 794 orang lagi telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik. Sejak awal Januari 2020, sebanyak 4,519 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan.



Close