Manage PermissionsManage Permissions

Kami hargai dedikasi sukarelawan



‚ÄčOleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar berkata, Kementerian Kesihatan sangat menghargai kerjasama dan bantuan yang telah diberikan oleh pihak sukarelawan dalam usaha Kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

 

Yang Berhormat menjelaskan, dedikasi dan komitmen yang telah diberikan dari segi masa, tenaga dan bahkan kewangan peribadi adalah merupakan satu pengorbanan besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara.

 

"Dalam kesempatan ini, Kementerian Kesihatan ingin memberikan keyakinan kepada para sukarelawan dan para ibu bapa atau penjaga bahawa setiap tugasan yang diaturkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk para sukarelawan adalah berupa tugasan rendah risiko atau 'low risk tasks'," ujar Yang Berhormat pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

 

Menurut Yang Berhormat, di antara tugasan tersebut ialah seperti pemeriksaan suhu badan; membantu dalam kerja-kerja sekretariat di fasiliti-fasiliti pemantauan atau pengasingan; dan sebagainya, menurut garis panduan yang telah disediakan oleh agensi-agensi yang terlibat.

 

Oleh yang demikian tambah Yang Berhormat lagi, Kementerian Kesihatan sangat mengharapkan kerjasama dan bantuan yang berterusan daripada pihak sukarelawan.

 

"Teruskanlah menyumbangkan khidmat bakti kepada negara serta komited dalam bersama-sama membantu kerajaan demi keselamatan dan kesejahteraan bersama," ujar Yang Berhormat.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu 'www.moh.gov.bn' atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi 'healthinfo.gov.bn'.



Close