Manage PermissionsManage Permissions

Pembayaran pencen melalui Drive Thru



‚ÄčOleh: Saerah Haji Abdul Ghani / Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. - Dalam mengurangkan risiko terkena jangkitan COVID-19 dan mengelakkan kesesakan serta perhimpunan ramai, Jabatan Perbendaharaan akan membuat pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (balu serta tanggungan) melalui kaedah drive-thru.

 

Tempat-tempat Pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (balu serta tanggungan) iaitu di tempat penurunan di depan dewan-dewan di mana bagi Daerah Brunei Muara, Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa; bagi Daerah Belait, Dewan Persidangan Kuala Belait; bagi Daerah Tutong, Dewan Kemasyarakatan, Tutong; dan bagi Daerah Temburong, Pejabat Jabatan Perbendaharaan, Temburong.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan, pembayaran kaedah Drive Thru tersebut akan diadakan selama dua hari iaitu pada 28 dan 30 Mac 2020 bermula pada jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang.

 

"Dalam pada itu, penerima-penerima pencen adalah juga diarahkan untuk membawa Kad Pengenalan asal masing-masing untuk kegunaan pihak Jabatan Perbendaharaan. Dalam masa yang sama, bagi para penerima yang ada mempunyai kad akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan, adalah dinasihatkan untuk membawa bersama salinan kad akaun bank berkenaan untuk proses pembayaran pencen bagi bulan berikutnya," ujar Yang Berhormat pada Sidang Media yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

 

Yang Berhormat menambah, manakala pembayaran pada hari-hari berikutnya akan dibuat di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei Muara dan di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong selama 10 hari waktu bekerja.

 

Menurut Yang Berhormat, talian-talian yang telah disediakan iaitu +673 2380822 / +673 2383469 untuk penerima membuat sebarang pertanyaan ke atas perubahan tatacara pembayaran yang dimaksudkan ini.

 

Yang Berhormat berkata, Kementerian Kewangan dan Ekonomi memohon kerjasama para penerima untuk mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa bagi melancarkan lagi pembayaran pada hari-hari tersebut.



Close