Manage PermissionsManage Permissions

Pembelajaran akan dilaksanakan dalam talian



‚ÄčOleh : Saerah Haji Abdul Ghani/ Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Mac. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman berkata, dalam menempuhi pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan menyedari kepentingan dalam memastikan momentum pembelajaran para pelajar diteruskan walaupun berada di rumah masing-masing.

 

Dengan itu, jelas Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan telah memutuskan bagi pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan secara dalam talian.

 

Ini bermakna tatacara penyampaian pengajaran dan pembelajaran perlulah diubahsuai berdasarkan keadaan masa kini.

 

"Dalam masa yang sama, kita perlu mengambil maklum bahawa kapasiti sekolah-sekolah adalah berbeza-beza. Pendekatan yang akan dilaksanakan oleh sekolah-sekolah pastinya akan berlainan tertakluk kepada pemimpin sekolah dan kapasiti guru masing-masing," ujar Yang Berhormat pada Sidang Media yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi mengenai Pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian semasa Musim Persekolahan Penggal Kedua yang akan bermula pada hari Isnin, 30 Mac 2020.

 

Menurut Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan akan meneruskan usaha-usaha dalam memberikan sokongan padu kepada sekolah-sekolah melalui Jabatan Sekolah-sekolah dan Bahagian Pendidikan Swasta iaitu pertama, bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dari rumah dengan lancar. Ini termasuklah menyediakan kaedah pengajaran dan pembelajaran alternatif mengikut kesesuaian dan kapasiti sekolah.

 

Kedua tambahnya, menangani isu-isu yang mungkin akan timbul dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dan ketiga, meneruskan kerjasama bersama pihak-pihak yang berkenaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian. Pihak-pihak yang berkenaan adalah Kementerian Pengangkutan dan InfoKomunikasi, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan UNN.



Close