Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Tiada kes baharu dilaporkan



‚ÄčOleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 



 

BERAKAS, Jumaat, 22 Mei. - Negara Brunei Darussalam masih mengekalkan jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 seramai 141 orang, di mana tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 disahkan di negara ini.

 


Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar mengumumkan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di NBD, di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.



Menurut Yang Berhormat lagi, jumlah keseluruhan yang sembuh pula kekal seramai 136 orang.

 


Sementara itu, jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan (National Isolation Centre - NIC) pada ketika ini, ujar Yang Berhormat, juga kekal seramai empat kes.

 


Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal. Walau bagaimanapun, hanya seorang sahaja jelasnya yang masih memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation - ECMO) dan mesin pernafasan, manakala seorang lagi kini hanya memerlukan bantuan mesin pernafasan sahaja. Selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

 


Yang Berhormat seterusnya menyatakan, semua kontak kes yang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 seperti yang dimaklumkan sebelum ini menamatkan tempoh kuarantin, di mana jumlah keseluruhannya ialah seramai 2,679 orang.


 

Dalam tempoh 24 jam lalu pula, sebanyak 183 sampel katanya, diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 menjadi 18,193 ujian.



Close