Manage PermissionsManage Permissions

Berkenan berangkat ke Majlis Mengangkat Sumpah



Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 Jun. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Mengangkat Sumpah bagi Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar yang baharu, Yang Arif Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

 


Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 


Di dalam acara tersebut, Surat Perintah Lantikan telah dibacakan oleh Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar. Ini telah diikuti dengan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Haji Abdullah Soefri mengangkat Sumpah Kehakiman ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 


Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Haji Abdullah Soefri sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan kanan di Kehakiman dan Pejabat Peguam Negara, termasuk sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, di mana merupakan jawatan yang masih beliau pegang sehingga sekarang.

 


Turut hadir di majlis tersebut ialah Penasihat Khas Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Menteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid dan Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon.  


Majlis Mengangkat Sumpah tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.




Close